SELEPAS meraih kejayaan menerusi pementasan pertamanya pada Jun 2015, Teach for the Needs (TFTN) sekali lagi tampil mementaskan teater Kota Kelip Kelip dengan harapan dan semangat baru hujung Disember lalu.

Naskhah tulisan Amar Amir Ithnin sebelum ini pernah dipentaskan di Damansara Performing Arts Centre (DPAC), namun kali ini dibawa keluar dari Lembah Klang dan beralih ke Performing Arts Centre of Penang (PenangPac) di Tanjong Tokong, Pulau Pinang.

Difahamkan pemilihan lokasi ini bagi memberi peluang kepada khalayak teater di utara menonton persembahan dan menikmati naskhah yang cukup berbeza menerusi penglibatan sekumpulan anak-anak yatim sebagai pelakon.

Naskhah ini menampilkan 10 pelakon dari empat rumah anak yatim di bawah seliaan TFTN yang kemudiannya dilatih dan diberi pendedahan menerusi bengkel teater yang dikendalikan oleh nama-nama besar dalam industri ini.

Bakat muda berusia sekitar 11 hingga 17 tahun ini menjalani latihan intensif selama dua minggu sahaja sebelum persembahan sebenar bermula.

Menurut pengarahnya, Fazleena Hishamuddin, pementasan kedua ini masih melibatkan pelakon sama dari pementasan sebelumnya.

“Latihan selama dua minggu memang tidak mencukupi, namun semangat dan kesungguhan mereka mengatasi segala-galanya.

“Jika pementasan yang pertama dulu ada di antara pelakon yang masih malu-malu, kali ini saya dapat lihat penampilan mereka lebih berkeyakinan,” katanya.

Kota Kelip Kelip sebenarnya sebuah naskhah yang cukup istimewa kerana bukan sekadar mementaskan sebuah teater, tetapi lebih dari itu kerana menjadi peluang kepada anak-anak yang kurang bernasib baik menunjukkan bakat mereka.

Tambah Fazleena juga, menerusi penyertaan di dalam projek teater ini turut mengajar mereka tentang keyakinan diri, disiplin serta motivasi menjadi lebih baik pada masa akan datang.

Impak kepada penonton

Sebagaimana pementasan pertamanya, sambutan di PenangPac juga mendapat perhatian menggalakkan dari penonton yang bukan sahaja terdiri daripada penduduk Pulau Pinang tetapi juga negeri-negeri di sekitarnya.

Meskipun PenangPac yang sebelum ini begitu sinonim dengan pementasan teater berbahasa Inggeris dan Cina, namun kehadiran Kota Kelip Kelip berjaya memberikan persepsi baru kepada khalayak penonton di sana.

Semestinya persembahan jujur ditunjukkan oleh barisan pelakon yang terlibat menjadi tarikan utama pementasan dan mesej yang ingin disampaikan berjaya diterjemahkan dengan baik menerusi lakonan mereka.

Meskipun kurang dari segi pengalaman, namun berbekalkan latihan dan pendedahan yang diberikan, mereka ternyata mampu memberikan persembahan yang begitu baik dan sekali gus berjaya memberikan impak tersendiri kepada pementasan ini.

Kejayaan pementasan ini juga semestinya datang dari jalan cerita menarik yang diketengahkan dalam naskhah yang memang membawakan nilai serta mesej yang begitu besar untuk dikongsi kepada penonton khasnya dan masyarakat amnya.

SINOPSIS

Kota Kelip-Kelip mengisahkan dua sahabat iaitu Saufy dan Azam yang pernah tinggal di sebuah rumah anak yatim yang dikenali sebagai Rumah Seri Muda. Mereka bertemu kembali dan mengimbau kehidupan serta kenangan di situ.

Rumah Seri Muda merupakan sebuah penginapan ajaib di mana anak-anak yang tinggal di situ akan kekal sebagai kanak-kanak selamanya.

Tiada peraturan tertentu yang dikenakan, sebaliknya mereka bebas bermain siang dan malam menjadikan Rumah Seri Muda umpama syurga kepada mereka semua.

Setiap hari mereka akan bermain aktiviti ‘drama’ dan melakonkan pelbagai watak dari buku-buku yang ada di rumah itu.

Apai selaku ketua rumah, akan menentukan ceritanya. Sebagai seorang ketua, Apai seolah-olah menjadi pelindung dan dihormati serta digeruni oleh anak-anak di rumah itu.

Satu hari, salah seorang dari mereka merasakan bahawa drama yang mereka lakonkan itu tidak lagi mengghairahkan dan menyeronokkan. Justeru sebuah skrip drama baru dicipta oleh Apai untuk mereka lakonkan.