Select Page
‘I Am Me’ Versi Sissy Imann Sedap Teruk Dari DSV?

‘I Am Me’ Versi Sissy Imann Sedap Teruk Dari DSV?

Gara-gara menyanyikan kembali lagu I Am Me nyanyian asal Datuk Seri Vida (DSV) dalam versinya yang tersendiri menerusi video yang dimuat naik di akaun Instagram dan Twitter miliknya semalam, penyanyi muda berbakat besar Sissy Iman tiba-tiba menarik perhatian ramai.

Video berdurasi 1 minit itu mendapat pujian ramai di mana rata-rata menganggap versi yang dinyanyikan oleh Sissy memberi ‘feel’ yang berbeza dan cukup sedap didengar berbanding versi asalnya.

Ternyata versi nyanyian Sissy sedikit sebanyak berjaya mengubah persepsi kebanyakan netizen terhadap lagu ini.

Jika sebelum ini lagu I Am Me diparodikan dalam pelbagai versi malah tidak kurang juga yang menjadikannya sebagai bahan komedi, Sissy mengambil pendekatan berbeza apabila menyanyikan lagu ini dengan memberikan suntikan yang agak classy.

Sissy ketika dihubungi MH Online berkata, tindakannya untuk menyanyikan lagu tersebut hanyalah untuk suka-suka dan berlaku tanpa dirancang.

“Lagu itu sangat catchy dan senang masuk dalam kepala walaupun hanya sekali dua dengar. Jadi Sissy saja-saja nyanyi tanpa fikir apapun di awalnya dan kemudian letak di Instagram dan Twitter.

 

“Tak sangka pula video tersebut dapat respons yang begitu positif daripada orang ramai sehingga ia dilihat lebih 20 ribu kali dalam masa yang tidak sampai 24 jam, malah menjadi antara video Sissy yang paling banyak dilihat,” ujarnya jujur.

Sementara itu, DSV turut repost kembali video yang dirakamkan oleh Sissy di akaun instagram miliknya dalam telah dilihat lebih 140 ribu kali.

Datuk Seri Vida, I Am Me, Datuk Vida, Penyanyi, Sissy Imann

Datuk Seri Vida, I Am Me, Datuk Vida, Penyanyi, Sissy Imann

 

 

 

 

 

 

 

Impak daripada itu juga, ramai di antara mereka yang belum begitu menyedari kehadiran Sissy dalam industri, mula mencari Instagram Sissy untuk mengenali siapa dirinya.

“Jujurnya Sissy sangat gembira bila tahu ramai yang suka dengan video itu dan dalam masa yang sama berharap agar lagu DSV ini sentiasa boleh buat orang tersenyum.

 

“Biarpun pelbagai persepsi yang diberikan kepada lagu ini, Sissy tidak ada masalah tentang itu malah sering mendengar I Am Me sehingga liriknya terhafal tanpa disedari,” katanya yang mula dikenali menerusi single Mungkin Kamu.

Mengulas tentang perbandingan yang dibuat oleh netizen terhadap versi I Am Me yang dinyanyikannya dengan versi asal, kata Sissy, ia tidak harus diperbesarkan kerana dia percaya DSV mempunyai sebab yang tersendiri untuk membawakan lagu tersebut dengan cara sedemikian.

“Bagi Sissy, DSV mempunyai identitinya yang tersendiri dan sebab itulah lagu itu dinyanyikan dengan cara begitu.

 

“Apa yang penting, lagu nyanyiannya ini telah berjaya menarik perhatian sekaligus menghiburkan ramai orang dan menjadi siulan di mana-mana saja,” kata Sissy.

Lagu ciptaan Edry KRU yang menjadi single pertama jutawan kosmetik Vida Beauty ini mendapat perhatian yang luar biasa daripada masyarakat semenjak dilancarkan dua minggu lalu. Malah video rasmi lagu ini juga telah ditonton lebih 2.5 juta kali sehingga menarik minat pelbagai pihak untuk membuat parodi lagu ini.

Inilah I Am Me versi Sissy Imann yang dikatakan ‘sedap teruk’ dari DSV itu tetapi versi DSV pun disukai ramai juga dengan caranya yang tersendiri.

‘Cico Ditikam Di Leher Tidak Benar’ – Uji Rashid

‘Cico Ditikam Di Leher Tidak Benar’ – Uji Rashid

Pelakon dan penyanyi popular era 1970an, Uji Rashid memohon orang ramai agar tidak membuat spekulasi negatif berkaitan keadaan anak lelakinya, Cico Harahap, 39, yang sebelum ini dilaporkan sedang sakit akibat perbuatan aniayai pihak yang tidak bertangungjawab. Kenyataan itu dikeluarkan Uji berhubung sebuah artikel yang melaporkan Cico terlantar sakit akibat ditikam di lehernya, sedangkan apa yang berlaku adalah sebaliknya. Kesal dengan laporan yang tidak tepat berhubung keadaan sebenar yang menimpa anaknya itu, Uji berharap agar pihak yang terbabit lebih bertanggungjawab dalam melaporkan sesuatu berita.

“Saya merayu kepada mereka yang terbabit agar tidak melaporkan sesuatu yang kurang pasti dengan menggunakan perkataan-perkataan yang boleh mengelirukan orang ramai tentangnya.   “Laporan yang mengatakan Cico terlantar sakit kerana ditikam di leher adalah tidak benar sama sekali, dan akibat dari itu ia telah membuka ruang kepada salah faham terhadap perkara sebenar yang dilaluinya.   “Saya lihat dia agak kecewa dan marah setelah membaca laporan tersebut dan sebagai ibu saya turut terkesan dengan situasi itu yang sedikit sebanyak pastinya turut mengganggu keadaan dirinya yang belum sembuh sepenuhnya ketika ini,” kata Uji yang ditemui ketika majlis pelancaran Q Space Sudio di Kajang baru-baru ini.

Disember lalu, Cico telah dimasukkan ke hospital setelah didapati tidak sedarkan diri akibat dianiayai pihak tidak bertanggungjawab yang telah memasukkan sesuatu di dalam minumannya ketika keluar bertemu rakan-rakannya. Kesan daripada itu, Cico mengalami masalah ingatan dan pertuturan yang agak serius sehingga tidak dapat bercakap sebagaimana dirinya sebelum ini. Kini setelah lebih enam bulan mendapatkan rawatan secara moden dan tradisional, pelakon filem Puteri Impian ini mula beransur pulih biarpun belum sepenuhnya.

“Sebulan pertama selepas kejadian itu, dia langsung tidak dapat mengingati siapa dirinya, anaknya dan juga saya sendiri sebagai ibunya. Badannya terlalu lemah dan ketika itu dia langsung tidak dapat bercakap kerana suaranya telah hilang.   “Masuk bulan kedua barulah dia kenal anaknya kembali dan bulan seterusnya dia mula ingat siapa dirinya walaupun masih tidak dapat menyebut namanya.   “Alhamdulillah menerusi rawatan berterusan, baik menerusi kaedah moden mahupun perubatan Islam, dia mula pulih perlahan-perlahan dan menunjukkan perkembangan yang cukup positif,” terang Uji yang turut juga mendapatkan bantuan daripada Ashraf Muslim untuk rawatan.  

Cico yang ada bersama ketika temu bual dilakukan bersama Uji, kelihatan tenang namun sukar untuk bertutur apabila disapa, malah menolak apabila diajak untuk bergambar sehingga terpaksa dipujuk ibunya.

“Macam itulah keadaan dia sekarang. Dia sukar untuk bertutur dengan baik malah mengambil masa yang agak lama untuk proses apa yang orang cakap dan dia dengar sebelum memberikan respons.   “Ada masa dia OK untuk jumpa orang, tetapi pada suatu ketika yang lain pernah juga dia tidak mahu langsung bertemu dengan sesiapapun.   “Apapun saya bersyukur kerana doktor memberitahu keadaannya semakin baik, malah fizikalnya juga semakin pulih, cuma pertuturannya sahaja yang belum elok sepenuhnya,” katanya Uji yang tidak putus mengucapkan terima kasih kepada pihak yang banyak membantunya.

Menolak untuk mengulas lanjut tentang punca kejadian tersebut berlaku, Uji menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk membuat siasatan.

“Saya tidak mahu menuduh sesiapa atau bercakap tentang sesuatu yang saya sendiri kurang pasti. Jadi biarlah pihak berkuasa sahaja membuat siasatan dan mencari jawapannya.   “Apa yang lebih penting buat saya hanyalah untuk melihat anak saya kembali pulih dan sihat walafiat sebagaimana sebelum ini.   “Sebagai ibu saya hanya memohon kepada Tuhan supaya saya diberikan kesihatan, kekuatan dan kesabaran agar dapat menjaganya dengan baik serta melalui dugaan ini dengan tenang,” akhiri Uji yang sentiasa bersikap positif.

Digilai peminat wanita, Hail Amir terima berguni surat

Digilai peminat wanita, Hail Amir terima berguni surat

Nama penyanyi dan pelakon popular era 1970an, Hail Amir, pernah menjadi fenomena ketika berada di zaman kemuncak popularitinya di mana dia digilai bukan sahaja kerana bakat yang ada pada dirinya baik dalam bidang nyanyian mahupun lakonan, tetapi juga kerana ketampanan yang dimiliki.

Hail atau nama sebenarnya Abdul Hair Amir, 62, mengakui apa yang dikecapinya itu adalah di luar dugaan kerana hasratnya untuk menceburi bidang seni bukanlah kerana ingin mengejar kemasyhuran, tetapi lebih kepada minat dalam bidang seni.

Sebelum bergelar artis popular, Hail yang berasal dari Kebun Lama, Pulau Pinang ini terlebih dahulu aktif dalam persatuan belia di kampung halamannya di mana dia dan rakan-rakannya didedahkan dengan pelbagai aktiviti seni.

“Ketika saya di usia remaja sekitar tahun 1960an, saya sangat aktif menyertai pelbagai aktiviti seni yang diadakan dalam persatuan di kampung seperti menyanyi, berlakon, menari dan tidak ketinggalan turut menyertai kumpulan boria,” jelasnya.

Penghijrahan Hail Ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1971 ternyata memberi lebih ruang kepadanya untuk mengembangkan bakatnya apabila ditawarkan untuk menyertai kelab budaya di Kementerian Belia dan Sukan.

Bersama kelab budaya Hail berpeluang untuk membuat persembahan di serata tempat di tanah air selain ke  luar negara seperti Kuwait, London, Jepun dan lain-lain.

“Inilah yang dikatakan rezeki, daripada seorang budak kampung yang tidak tahu apa-apa, saya mendapat peluang membuat persembahan di serata tempat, malah merasa juga pergi ke negara orang menerusi penglibatan dalam bidang seni ini,” ujarnya yang turut berkemahiran bermain alat muzik  terutamanya gitar.

Perjalanan seni Hail sebagai artis komersial bermula apabila dia didatangi wakil dari produksi Show Brothers memberikan tawarannya untuk berlakon sebagai watak utama dalam filem Jiwa Remaja bergandingan dengan Uji Rashid sekitar tahun 1975.

“Jiwa Remaja merupakan filem pertama lakonan saya dan apa yang mengejutkan filem itu telah mendapat sambutan luar biasa daripada penonton sehingga mendapat kutipan yang cukup tinggi ketika itu.

 

“Selepas kejayaan itulah, kerjaya saya dalam bidang lakonan mula berkembang apabila terus diberikan tawaran untuk membintangi filem demi filem,” katanya turut membintangi filem muzikal Cinta dan Lagu.

Hail tidak menunggu lama untuk turut mencipta nama dalam bidang nyanyian apabila pada tahun yang sama, dia juga mendapat tawaran untuk bergelar artis rakaman.

“Pada tahun yang sama ditawarkan jadi pelakon, saya dipanggil ke sesi uji bakat oleh komposer terkenal Datuk Ahmad Nawab dan selepas itu saya terus merakamkan.

 

“Alhamdulillah dalam EP yang menjadi pengenalan saya itu, lagu Wajah Kesayangan Hamba menjadi hits dan mencipta sejarahnya yang tersendiri apabila bergelar juara selama tiga bulan dalam carta lagu LPMI,” imbasnya.

Tidak sekadar tampil dengan album solo, Hail turut dikenali menerusi lagu-lagu duetnya bersama Uji Rashid yang dianggap peminat sebagai pasangannya yang cukup serasi. Malah lagu raya yang menyaksikan duetnya bersama Uji menjadi malar segar meski sudah lebih 40 tahun berlalu.

Berkongsi cabaran yang dilaluinya ketika itu, kata Hail, ia lebih kepada usaha keras yang dilakukan untuk memajukan diri dalam bidang seni.

“Cabaran paling besar ketika itu adalah untuk menjadi yang terbaik kerana apabila kerja kita bagus, orang akan datang cari kita dan menawarkan pelbagai peluang baru.

 

“Kami artis-artis ketika itu tidak fikirkan mahu menang dalam persaingan sesama kami, tetapi lebih kepada usaha nak majukan diri dengan kerja keras untuk jadi lebih bagus,” tegasnya.

Populariti serentak yang dikecapinya dalam bidang lakonan dan nyanyian menjadikan Hail sebagai seorang artis lelaki yang menjadi buruan ketika itu di mana hampir semua majalah hiburan utama menjadikan wajahnya sebagai penghias muka.

“Jujurnya saya tidak pernah bermimpi untuk melalui perkara seperti itu, namun itulah yang telah ditakdirkan menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup saya.

 

“Memang seronok dan rasa cukup dihargai ketika itu kerana kita menjadi perhatian di mana-mana kerana kejayaan yang kita peroleh dari kerja seni yang dilakukan.

 

“Banyak sekali pengalaman yang saya kumpul dan ia menjadi sesuatu yang akan saya kenang sampai bila-bila,” akuinya.

Menurut Hail lagi, paling tidak dapat dilupakan adalah sokongan yang diberikan oleh para  peminatnya ketika itu yang disifatkan sangat luar biasa.

“Setiap minggu saya didatangi dengan berguni-guni surat yang menyatakan sokongan mereka kepada saya dan saya anggap ia sebagai suatu yang cukup manis untuk dikenang.

 

“Namun saya juga terasa agak ralat kerana ketika itu saya tidak dapat membalas kesemua surat tersebut, malah ada di antaranya yang langsung tidak dibuka kerana jumlahnya terlalu banyak sedangkan masa saya agak terhad kerana sering berkejaran dengan jadual kerja yang padat,” akuinya kesal.

Biarpun masa berlalu, Hail yang kini mempunyai empat orang anak dan lima cucu ini tidak berhasrat meninggalkan dunia seni terutamanya nyanyian yang telah menjadi darah dagingnya.

“Selagi masih sihat, insya-ALLAH saya akan terus menyanyi seperti biasa walaupun tidak serancak dulu.

 

“Minat dalam kerjaya seni ini sudah kekal dalam diri dan sukar untuk dibuang meskipun kita sudah melalui macam-macam perkara,” kata Hail yang cukup dikenali dengan sikap merendah dirinya ini.

Hattan, Nash bakal tunai haji

Hattan, Nash bakal tunai haji

Selepas sekian lama menanti, dua legenda rock tanah air, Datuk Hattan dan Datuk Nash bersyukur apabila diberi peluang untuk menunaikan haji, pada tahun ini.

Bersyukur dengan peluang yang diberikan, kedua-dua penyanyi ini sanggup menolak semua tawaran kerja pada Ogos ini.

Mereka juga bakal berangkat ke Tanah Suci Makkah menerusi penerbangan terakhir ke Jeddah pada 28 Ogos ini dan bakal berada di sana selama dua minggu.

CH: ‘Tolak persembahan Sukan Sea 2017’ – Hattan

Demi menunaikan rukun Islam kelima itu, Hattan tidak teragak-agak menolak tawaran membuat persembahan pada acara penutup Sukan Sea 2017 kelak.

Katanya, peluang keemasan itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja meskipun menyedari tawaran yang diterima satu pencapaian besar dalam kerjaya seninya.

“Sebenarnya, saya terkejut sebab inilah peluang yang dinanti-nantikan oleh semua umat Islam.

“Lagipun, peluang untuk menunaikan haji datang sekali dan dah tentu saya tak akan melepaskannya,” katanya.

Bercerita lanjut, selebriti berusia 53 tahun ini mengakui teruja apabila menerima khabar gembira itu pada Ramadan lalu.

“Apabila dimaklumkan saya antara jemaah yang terpilih, bulu roma saya meremang kerana terlalu teruja.

“Sebab itu, saya terus tolak tawaran menjayakan persembahan berskala besar kerana ibadat haji lebih diutamakan.

“Lagipun, saya memang mengimpikan untuk menunaikan ibadah haji selepas dua kali mengerjakan umrah,” katanya.

Sebagai persiapan, pelantun lagu Memburu Rindu ini bakal mengikuti kursus haji dalam masa terdekat.

“Saya pernah mengikuti kursus haji beberapa tahun lalu dan hampir mahu ke sana tetapi ketika itu Allah SWT belum mengizinkan lagi

“Bagaimanapun, saya akan mengikuti kursus haji sekali lagi dan rasanya tiada masalah kerana pernah mengerjakan umrah sebelum ini,” katanya.

CH: ‘Rindu pada tanah suci terubat’ – Nash

Berkongsi perasaan yang sama, Nash mengakui sangat merindui tanah suci bahkan pernah mengimpikan untuk mengerjakan haji selama ini.

Bahkan, selebriti berusia 57 tahun ini juga tidak merancang untuk mengerjakan rukun Islam kelima pada tahun ini.

“Jika ditanya kepada sesiapa pun, pilihan sama ada ingin ke London atau mengerjakan haji, dah tentu kita akan pilih buat haji.

“Lagipun, saya dah dua kali mengerjakan umrah dan kerinduan untuk ke sana tidak pernah terpadam. Saya rindu untuk berdoa di makam Rasulullah dan beribadah di Mekah.

“Insya-ALLAH, akhirnya, saya dapat mengerjakan haji tahun ini dan ia adalah impian saya,” katanya.

Jelasnya, sebagai umat Islam, peluang untuk ke rumah ALLAH tidak akan dilepaskan begitu sahaja.

“Jujurnya, saya sangat terharu dan insaf kerana diberi peluang ini.

“Setiap umat Islam pasti mahukan kesempurnaan apabila dapat menunaikan haji.

“Mudah-mudahan ALLAH SWT permudahkan urusan saya di sana nanti dan melakukan segala ibadah dengan sempurna,” katanya.

Mengenai persiapan, pelantun lagu Pada Syurga Di Wajahmu ini juga bakal mengikuti kursus haji dalam masa terdekat.

“Saban hari saya muhasabah diri kerana dalam kehinaan dan dosa yang banyak, Dia jemput juga saya ke sana.

“Saya akan masuk kursus haji dan berjumpa ustaz untuk belajar dengan mereka agar mendapat haji yang mabrur,” katanya.

Dalam pada itu, Hattan dan Nash juga bakal memeriahkan festival kerohanian 1st World Sama’ Fest yang akan berlangsung di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 28 Julai ini.

Ayu Damit Akhirnya Pilih Kerja tetap

Ayu Damit Akhirnya Pilih Kerja tetap

Lama tidak melihat kelibatnya di kaca TV dan majlis-majlis hiburan sehingga ada yang menyangkakan, Ayu Damit sudah memperlahankan kerjaya seninya, apatah lagi setelah mendapat tahu penyanyi ini kini sudah bekerja tetap di sebuah syarikat.

Kali terakhir Ayu muncul menerusi single Beauty Till Jannah, namun khabarnya lagu tersebut kurang mendapat sambutan malah tidak mendapat ruang yang sepatutnya untuk diperdengarkan di corong-corong radio utama menyebabkan dia beralih arah.

Bagaimanapun, Ayu yang ditemui di majlis Rumah Terbukan Restoran D’Empangan Udang Galah, Putrajaya Jumaat lalu, menyatakan, minatnya dalam bidang seni tidak surut meskipun pada ketika ini perlu bersaing dengan ramai penyanyi-penyanyi baru yang datang silih berganti.

“Saya sebenarnya tidak pernah hilang atau berehat dari dunia seni kerana minat saya memang di sini sejak awal memasuki industri sehinggalah sekarang.

 

“Cuma biasalah dalam perjalanan seni seseorang artis itu pasti ada pasang dan surutnya dan begitu jugalah yang saya lalui untuk beberapa ketika.

 

“Namun alhamdulillah, di peluang dalam bidang seni kurang memberangsangkan, saya mendapat rezeki lain apabila ditawarkan untuk bekerja secara tetap di sebuah syarikat yang melantik saya sebagai duta mereka dan saya selesa dengan bersama mereka,” jelasnya.

Biarpun begitu, Ayu tidak pernah berhasrat untuk meninggalkan kerjaya seni, malah sentiasa mencari peluang terbaik untuk kembali tampil dengan karya terbaru sebagai kesinambungan kerjaya seninya.

Malah kini penyanyi yang dicungkil bakatnya daripada pertandingan reality One In a Million musim pertama ini sedang giat membuat persediaan untuk tampil dengan sebuah mini album yang juga dalam masa yang sama merupakan album sountrack filem.

“Buat masa sekarang memang saya agak sibuk memberi tumpuan kepada album ini, di mana tiga buat lagu telah siap dirakamkan dan kini sedang menunggu dua atau tiga lagu lagi untuk melengkapkan album ini.

 

“Apa yang berbezanya untuk album terbaru saya ini adalah ia juga merupakan album soundtrack sebuah filem yang abakal ditayangkan sekitar hujung tahun ini.

 

“Jadi keseluruhan lagu-lagu dari album ini mempunyai kaitan secara langsung dengan jalan cerita filem tersebut dan ia sangat-sangat istimewa,” ujar Ayu yang masih mengekalkan genre balada yang cukup sinonim dengan vokalnya.

Biarpun kini sudah bekerja tetap dan menghabiskan masa dari jam 9-6 di pejabat, Ayu meluahkan rasa bertuahnya apabila majikan di tempatnya bekerja cukup memahami dan sentiasa memberi kelonggaran kepadanya untuk terus bergiat aktif dalam bidang nyanyian.

“Alhamdulillah, saya menyifatkan diri sebagai bertuah kerana majikan saya sangat memahami dan tidak pernah menghalang saya untuk terus aktif menyanyi meskipun saya kini bertugas sepenuh masa di syarikatnya.

 

“Jika saya mempunyai persembahan pentas, beliau turut memberi kelonggaran kepada saya untuk berbuat demikian tanpa sebarang syarat dan situasi itu membuatkan saya benar-benar menghargai kepercayaan yang diberikan olehnya,” kata Ayu lagi.

Meskipun tawaran dalam mengadakan persembahan pentas sudah tidak serancak dahulu, Ayu merasakan kehidupannya kini lebih tenang dan teratur selepas mempunyai pekerjaan tetap.

“Dulu kalau tawaran persembahan berkurangan, saya sudah mula risau itu dan ini kerana fikirkan pelbagai macam perkara yang menjadi tanggungan saya.

 

“Namun sekarang saya rasa selesa kerana dapat mengaturkan kewangan dengan lebih baik meskipun mungkin jumlah pendapatan dulu mungkin lebih besar berbanding hari ini.

 

“Rezeki sebenarnya datang kepada kita dalam pelbagai cara dan saya anggap apa yang saya peroleh hari ini adalah kerana anak-anak” akuinya yang berjaya membeli kereta idamannnya dengan wang sendiri.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© All Rights Reserved • Karangkraf Group © Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error: