Select Page

Gembira dengan perjalanan seninya pada ketika ini, bintang berusia 25 tahun itu akui, penantiannya selama ini sudah dikira berbaloi.

Bukan mengaharapkan diri dilimpahi cahaya glamor semata-mata, tetapi setidak-tidaknya, Ernie mahu kehadiran dalam dunia seni tidak dipandang sepi.

“Alhamdulillah, sejak menjuari Duo Star tidak lama dulu, perjalanan kerjaya saya kian baik. Terima kasih buat semua yang menyokong meski saya sedar, sebelum ni kehadiran tidaklah ‘semeriah’ mana seperti rakan artis yang lain.

 

“Apa pun saya bersyukur kerana penantian lebih tujuh tahun itu akhirnya menampakkan hasil yang boleh dibanggakan. Jujurnya, dalam tempoh sukar tersebut, bohonglah andai saya tidak pernah ada rasa putus asa. Macam-macam lagu sudah dikeluarkan, tetapi resultnya hampir sama saja.

 

“Mujur keluarga banyak memberikan sokongan dan kekuatan agar saya terus berusaha dan ‘bernafas’ dalam seni. Mereka sedia tahu akan minat saya dan rasanya, saya juga perlu kuat kerana sebolehnya saya juga mahu cabar diri untuk melihat sejauh mana saya boleh pergi dalam seni.

 

“Bukan nak kejar popuariti, tetapi saya gembira kerana perubahan ini sekurang-kurangnya memberi lebih semangat buat saya untuk terus memberikan yang terbaik dalam dunia seni.

 

“Tidak lagi mahu pandang ke belakang. Sebaliknya saya hanya mahu fokus ke depan dalam dunia yang ceburi sekarang,” kongsi Ernie memulakan bicara.

Ernie ditemui Media Hiburan ketika sesi rakaman program Muzik-Muzik raya di Hotel Marriot, Putrajaya baru-baru ini.

Selain Ernie, penyanyi lain yang turut terlibat dalam program sama ialah Dayang Nurfaizah, Aizat, Wany Hasrita dan ramai lagi.

Bagai kena dengan kehadiran bulan penuh keberkatan ini, Ernie turut mengambil peluang untuk mengucapkan selamat berpuasa kepada seluruh umat Islam di Malaysia, khasnya buat para peminat yang selama ini tidak pernah jemu memberikan sokongan.

Malah, Ernie juga gembira kerana dia juga sudah mulai mengumpul para peminat baru yang diraihnya sejak terlibat dalam program Duo Star.

“Ramadan tahun ini lebih berbeza daripada tahun-tahun sebelumnya kerana selain sibuk dengan komitmen seni, saya juga tidak melepaskan peluang untuk mencari keberkatan di bulan Ramadan.

 

“Undangan majlis berbuka juga tidak pernah putus. Terima kasih buat kalian yang mengingati,” katanya lagi.

Ditanya mengenai perkembangan terbarunya pula, Ernie yang turut menjadi guru vokal kepada beberapa penyanyi tempatan ini juga akan mengeluarkan single terkininya tidak lama lagi.

Comments

error: