Select Page

Selepas menjalinkan kolaborasi baju Melayu, baju kurung dan baju kurung kanak-kanak bersama Jakel, menerusi Schawalara X Jakel tahun lalu, nampaknya rezeki Awal Ashaari, 36, Scha Al-Yahya, 34, dan anak comel mereka, Lara Alana, 3 bersama Jakel masih berterusan.

Bahkan ujar Awal, dia berasa bersyukur dan teruja apabila Jakel memaklumkan untuk meneruskan usaha sama mereka untuk tahun kedua.

“Bila kerjasama ini diteruskan, secara tidak langsung, kami tidak perlu lagi pening memikirkan untuk menempah dan membeli baju sempena Aidilfitri, Alhamdulillah.

 

“Malah saya berasa seronok juga kerana dapat berkongsi minat menghasilkan baju raya dengan berkualiti dengan harga yang berpatutan bersama peminat,” ujar Awal.

Tambah Scha pula, kolaborasi yang pertama telah memberi pengalaman kepada mereka dan membuatkan mereka lebih arif untuk penghasilan rekaan kali ini.

“Dulu kami ikut dan tak berapa arif sangat. Tapi kali ini, kami banyak juga sumbangkan idea, dari segi rekaan, warna, mengikut apa yang orang mahu.

 

“Bahkan macam baju perempuan, kami memilih kain daripada digital print dan ia nampak lebih moden. Manakala untuk lelaki pula, tidak terhad kepada baju Melayu, kini kita ada kurta yang sesuai juga digayakan untuk ke mana sahaja,” jelasnya.

Tidak hanya menitik beratkan rekaan untuk lelaki dan perempuan dewasa sahaja, Awal berkata, mereka juga turut memberi idea dan pendapat mengenai rekaan baju kanak-kanak perempuan yang digayakan oleh Lara sendiri.

“Kanak-kanak perempuan, bila mereka lihat mak mereka bergaya, mereka pun nak juga, jadi baju untuk kanak-kanak perempuan itu detailing dari segi design dan labuci tidak jauh dengan design wanita dewasa, cuma tidaklah keterlaluan,” ujarnya.

Diusik adakah mereka akan mengayakan baju Jakel sepanjang Syawal ini, Scha berkata, tidak ada sebab untuk mereka tidak memakai baju Jakel kerana ke semua rekaan juga direka untuk mereka.

“Macam saya, saya pakai satu set baju raya hanya untuk tiga hari raya sahaja. Tapi kalau selepas ini memerlukan kami memakai dress ke, kain masih boleh didapati di Jakel.

 

“Awal pula, kalau boleh sampai 30 Syawal masih mahu berbaju Melayu lengkap bersamping,” selorohnya.

Tidak menafikan usikan isterinya, jelas Awal, biarpun sudah berusia, namun dia masih lagi seronok menyambut Aidilfitri.

“Bagi Scha raya dua hari sahaja. Tapi bagi saya, walaupun jumpa orang dah penghujung Syawal pun, saya masih nak bersalam dan mengucapkan Selamat Hari Raya (ketawa).

 

“Biasanya saya akan berbaju Melayu sehingga raya ketujuh dan juga ketika menghadiri rumah terbuka, baharulah rasa suasana berhari raya,” ujarnya.

Rindu balik kampung

Berkongsi aktiviti Syawal mereka, Scha berkata, jadual mereka pada hari raya juga berubah semenjak Lara hadir di dalam hidup mereka.

“Kalau dahulu, ziarah ke rumah saudara dan rakan taulan dari pagi hingga ke petang pun tidak mengapa.

 

“Tapi sejak ada Lara, kami ikut juga masa dia kerana dia perlukan masa untuk tidur siang.

 

“Jadi selepas menziarahi, kami pulang ke rumah seketika untuk berikan masa buat Lara berehat dan selepas itu keluar semula,” katanya.

Jelas Awal pula, dia dan Scha tidak pernah bergaduh untuk pulang berhari raya kerana keluarga kedua-duanya berada di Kuala Lumpur.

“Rumah keluarga saya dan Scha berada berdekatan, jadi bila orang bercakap mengenai kampung, saya tak rasa sangat sebab kampung saya di Kampung Baru.

 

“Hanya dipisahkan dengan Penchala Link untuk pulang ke rumah keluarga Scha pula,” ujarnya.

Namun bagi Scha pula, jauh di sudut hati, dia rindu untuk pulang ke kampungnya di Sungai Petani, Kedah.

“Tak ramai lagi yang ada di Sungai Petani kerana kebanyakan dah berpindah ke sini. Tapi ada juga keinginan nak ke sana, nak bawa Lara lihat kampung mummy dia,” katanya.

 

Manjakan anak?

Sementara itu, ditanya mengenai dakwaan peminat yang mengatakan mereka terlalu memanjakan Lara dengan kemewahan, Awal menafikannya.

Jelas Awal, Lara sebenarnya dimanjakan oleh peminat dan pengikutnya.

“Tidak dinafikan kehadiran Lara membawa rezeki besar dalam kehidupan kami.

 

“Sejak awal lagi, Scha dah warning saya untuk tidak mewahkan dia dengan barangan berjenama dan tak semua yang dia minta akan kami beri.

 

“Tapi setiap minggu, ada sahaja hadiah yang diterima oleh Lara, sampaikan ada antaranya yang bernilai ribuan ringgit. Setiap kali keluar pun orang bagi hadiah dan makanan,” katanya.

Selain itu, tambah Awal lagi, walaupun bergelar anak selebriti dan secara tak langsung menjadi public figure, dia tetap mahu Lara membesar secara normal dan tidak mendapat keistimewaan tertentu lantaran statusnya itu.

“Kami mahu dia diberi layanan sama rata sama ada di sekolah atau di mana-mana. Tak ada istilah terlalu manjakan dia kerana kami juga terapkan disiplin dalam kehidupan seharian dia,” akhirinya.

Comments

error: