Perjuangan pelakon, Zain Saidin dalam 'MasterChef Selebriti Malaysia 2' (MSM 2) telah sampai ke penghujungnya apabila 'pancake' yang disediakan gagal menambat hati juri pertandingan. 
 
Namun, penyingkiran Zain telah mencetuskan kontroversi apabila kelantangannya mempertikaikan tindakan juri yang dilihat tidak adil telah mendapat reaksi negatif daripada penonton. 
 
“Saya dipergunakan dan dijadikan watak jahat dalam drama ini. Saya akui, rancangan ini separuh 'real', separuh drama. Namun, banyak kata-kata ‘pedas’ juri dibuang dan kelantangan saya menyerlah.
 
“Saya tidak kecewa apabila disingkirkan kerana saya tahu setakat mana kemampuan saya, namun saya tidak suka bila ada unsur-unsur ketidakadilan dalam pertandingan,” katanya yang mengakui sudah berdamai dengan Chef Adu, Chef Joe dan Chef Zubir.
 
Dalam pada itu, Zain juga mendedahkan pada awalnya menolak untuk menyertai pertandingan ini, namun dia dipaksa pihak produksi untuk sama-sama memeriahkan dapur Masterchef bersama Che Ta.
 
“Saya memang tak nak masuk MSM 2 kerana saya tiada kemahiran memasak. Mereka mahu saya masuk kerana kisah percintaan saya bersama Che Ta. Namun, saya tidak sangka ia bukan sekadar pertandingan. Sejak awal lagi saya sudah nampak sikap juri yang tidak adil," katanya yang terpaksa menolak tawaran lakonan semata-mata untuk turut serta dalam pertandingan ini.