PELAKON dan pelawak Sherry Al-Hadad bersyukur kerana merasakan dirinya diterima bidang lakonan.

Menurutnya, dia tidak menyangka diangkat sebagai teraju utama bagi sesetengah drama dibintangi.

"Dahulu, pelakon mempunyai fizikal besar kurang diberikan perhatian, inikan pula diberikan peluang sebagai bintang utama.

"Tetapi, kini tidak lagi, masyarakat mula menerima kehadiran kami.

"Saya percaya mereka semakin bijak menilai bakat seseorang itu bukan bersandarkan rupa atau fizikal yang menarik sahaja," katanya.

Mengakui gembira penerima peminat terhadapnya, kata pelakon sedang popular menerusi drama bersiri Cinta 100kg ini, dia bimbang jika peminat bosan atau jemu jika wajahnya sering menghiasi layar skrin.

"Sebenarnya memang kebetulan drama yang saya lakonkan disiarkan pada waktu yang lebih kurang sama.

"Jadi, apabila mereka menonton, sekejap-sekejap ada saja muka saya. Kerana itu, saya perlu berhati-hati melakonkan segelintir karakter itu supaya tidak nampak sama di mata mereka," katanya.

Jelasnya, meskipun pelbagai tawaran diterima namun, genre komedimenjadi sisi utamanya dalam setiap peranan dibawakan.

"Cuma bagi Cinta 100kg, ia agak berbeza. Menerusi drama bersiri itu, saya tidak terlalu menampilkan sisi lucu seperti mana-mana drama dilakonkan sebelum ini," katanya.

Berasa berbaloi dengan usahanya melibatkan diri dalam bidang ini sejak 2006, kata pelakon berusia 31 tahun ini, dia bagaimanapun tidak pernah puas dengan pencapaiannya kini.

"Saya perlu kaji lebih khususnya daripada aspek watak dan persembahan. Kerana bagi pelakon itulah faktor utama orang mengambil kita bekerja dengan mereka," katanya.

Selain Cinta 100kg, Sherry kini popular menerusi drama bersiri Ahli Mesyuarat Tingkap yang turut dibintangi Rita Rudaini dan Izreen Azminda.

Sherry juga bakal muncul dengan sebuah teater sekitar September depan.