Select Page

Kumpulan nasyid terunggul, Rabbani terus bertahan dalam industri muzik biarpun kehilangan pucuk pimpinan yang juga vokalis utamanya, Ustaz Mohd Asri Ibrahim pada 2009.

Buktinya, kumpulan nasyid yang mempunyai lapan ahli ini masih lagi wujud malah usianya juga sudah mencecah dua dekad.

Berkongsi rahsia, Azadan Abdul Aziz yang mewakili kumpulannya memberitahu, perjuangan Rabbani hanya berlandaskan pada kerja dakwah semata-mata.

Katanya, Rabbani bermaksud yang arif dan soleh maka secara umumnya mengajak diri sendiri, keluarga dan masyarakat untuk berilmu serta beramal soleh.

“Kumpulan nasyid ini ditubuhkan bertujuan untuk mendidik jiwa manusia menerusi alunan lagu nasyid dan ketuhanan.

 

“Sedari awal, kita meletakkan nasyid ini bukan landasan untuk meraih populariti atau mengejar pendapatan semata-mata sebaliknya menjadikan ia sebagai bidang dakwah,” katanya pada Media Hiburan.

Rentetan itu, katanya, Rabbani akan terus bertahan selagi khidmat diperlukan di dalam industri muzik tanah air.

“Insya-ALLAH, kita akan terus berdakwah selagi termampu.


“Dan… sekiranya kita tidak mampu untuk menyumbang dalam seni suara, kita bersedia untuk memberi khidmat nasihat dan latihan,” katanya.

Mahu sertai GGV

Menyedari industri nasyid semakin merudum, Rabbani juga berpendapat kehadiran program seperti Gema Gegar Vaganza (GGV) sangat membantu dalam mengembalikan semula kegemilangannya.

Kata Azadan, GGV boleh dianggap sebagai platform untuk artis-artis nasyid ini melebarkan bakat terpendam yang ada dalam diri.

“Sebelum ini, kita selalu dengar desas-desus mengatakan industri hiburan meminggirkan nasyid itu sendiri.

“Jadi, inilah masanya untuk proses kebangkitan semula industri nasyid.

“Kita rasa program ini wajar diteruskan bahkan kita juga berharap stesen televisyen lain turut buka buat program hiburan Islamik dengan konsep pelbagai,” katanya.

Tambahnya, Rabbani juga berniat menyertai GGV pada masa akan datang sekiranya berkelapangan.

“Sebenarnya, kita juga ditawarkan menyertai program ini pada musim lalu.

“Tetapi, tawaran itu terpaksa ditolak disebabkan kekangan masa dan terikat dengan komitmen lain.

“Insya-ALLAH, jika ada rezeki kita akan pertimbangkannya,” katanya.

Teruskan tradisi

Dalam pada itu, Rabbani semakin aktif menjayakan persembahan pentas sepanjang Ramadan ini.

“Sebelum ini, kita merupakan artis residen di Hotel Singgahsana, Petaling Jaya bermula dari tahun 1991 sehingga 2012.

“Selepas hotel itu ditutup, kita ambil keputusan tidak ikat kontrak dengan mana-mana hotel bagi jayakan persembahan pada Ramadan.

“Alhamdulillah, kita banyak terima tawaran jayakan persembahan sejak lima tahun kebelakangan ini,” katanya.

Bukan itu sahaja, Azadan juga baru sahaja membuka sebuah restoran berkonsepkan makanan Arab iaitu Rabbani Lamb House di MyFoodLoft, sejak hujung Mei lalu.

“Walaupun saya yang mengusahakan restoran ini, saya tetap guna nama Rabbani kerana ia lebih dekat dengan saya.

“Mengenai soal itu (nama), saya sudah pun berbincang malah ahli keuntungan restoran juga akan dibahagi-bahagikan kepada ahli kumpulan lain. Saya rasa ini adalah sedekah jariah daripada saya untuk kumpulan ini.

“Saya juga faham, ahli kumpulan lain bukan tidak mahu mengambil tahu mengenai perjalanan restoran ini tetapi ini bukanlah forte mereka. Tapi, mereka tetap memberi sokongan penuh kepada saya,” katanya.

Katanya, Rabbani Lamb House menghidangkan pelbagai pilihan juadah dari Timur Tengah untuk berbuka puasa menerusi harga pakej serendah RM19.90.

Tambahnya, selain menghidangkan juadah berbuka puasa, Rabbani juga terlibat dalam menjayakan persembahan bagi meraikan tetamu di restoran berkenaan pada setiap minggu.

“Kita bukan hanya tampilkan Rabbani, tetapi juga kumpulan nasyid yang lain seperti Saujana, Inteam dan Nowseeheart.

“Sekurang-kurangnya, kita masih teruskan tradisi hiburkan peminat pada Ramadan ini,” katanya yang merancang untuk membuka beberapa restoran lain, tetapi berlainan konsep dalam tempoh tiga bulan akan datang di sekitar Kuala Lumpur.

Sokong kempen #QuranHour

Dalam perkembangan lain, Rabbani turut menyokong penganjuran Malaysia #QuranHour yang bakal berlangsung di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin, Putrajaya pada 24 Ramadan ini.

Menurut Mohd Asri Ubaidullah, kempen #QuranHour merupakan satu usaha yang sangat murni dan terpuji demi mengajak umat Islam kembali memahami isi al-Quran.

“Mudah-mudahan, kita dapat turut sama memanjangkan usaha ini dengan menghebahkan mengenai kempen ini secara meluas agar kebaikan dan manfaat daripada usaha berkenaan dapat dirasai secara bersama,” katanya.

Comments

error: