BAGI yang telah menonton filem Adiwira Ku, pasti akan bersetuju jika Gempal katakan bahawa filem ini bukanlah sebuah filem yang sempurna namun tetap filem yang penuh dengan perasaan.

Gempal yakin tidak ada seorang pun yang tidak akan tersentuh hatinya apabila menghayati filem ini.

Sebuah kisah yang membawa kita kembali ke zaman persekolahan. Percayalah anda boleh menangis di awal, di pertengahan, di akhir cerita atau sepanjang cerita ini.

Gempal belajar di sekolah yang digelar sekolah kampung sama seperti cerita yang dipersembahkan. Gempal juga antara murid yang boleh berbahasa Inggeris berbanding dengan rakan-rakan lain. Gempal juga pernah melalui pertandingan seperti itu yang mana wakil sekolah kampung di pandang sebelah mata. 

Inilah antara intipati cerita Adiwira Ku yang cukup kuat. Anak sekolah kampung cuba mencapai kejayaan.

Keseluruhan filem ini boleh dibanggakan. Malah lebih baik daripada sesetengah filem bajet tinggi yang entah apa-apa.

Pun begitu, ada silapnya apabila filem Adiwira Ku ini tidak menarik masyarakat ke pawagam dan lebih tertumpu kepada filem-filem komersial yang lain.

Mungkin kerana terlalu kurangnya publisiti. Hanya mengharap ihsan komen penonton di media sosial semata-mata. Dirasakan penerbit perlu memikirkan untuk sediakan bajet yang lebih bagi tujuan promosi supaya lagi ramai yang teruja untuk menonton filem ini di pawagam. Sayang jika filem yang punya mesej baik seperti ini tidak ditonton.

Perlu disediakan bajet yang lebih untuk promosi filem. Jika tidak macam mana khalayak mahu teruja untuk menonton.  

Bayangkan ketika Gempal menonton, hanya dua orang di dalam panggung tersebut.  Rakan Gempal pula memberitahu, ketika dia menonton ada lebih kurang lima orang. Justeru, adakah terlalu awal untuk menilai bahawa Adiwira Ku gagal menarik penonton ke pawagam?  

Ada rakan Gempal yang memberitahu bahawa mentaliti orang kita memang begitu, yang lebih gemarkan cerita hantu, mat motor dan aksi. Gempal ingin cuba nafikan kenyataan tersebut dengan memberi contoh filem The Journey mendapat kutipan luar biasa. Namun akhirnya Gempal mengalah apabila memang banyak filem bagus seperti ini tidak mendapat kutipan yang tinggi.

Rakyat Malaysia suka memilih cerita hiburan ringan, gelak ketawa dan selepas tamat wayang pulang dengan wajah yang gembira. Tak perlu nak fikir apa selepas itu.  

Itu yang Gempal dapat lihat mengenai pemilihan penonton di negara kita dan itulah yang disajikan.  

Justeru, bila ada yang memberi komen katanya filem tempatan macam sampah, tak ada isu lain, boring asyik-asyik cinta, mahukan filem yang lebih bermutu, dan pelbagai komen negatif lagi, namun akhirnya percayalah bahawa filem-filem seperti inilah yang bakal mencapai kutipan jutaan ringgit.  

Salah siapa?  Salah kita sebagai penonton yang membuatkan penerbit terpaksa mengikut arus seperti itu.  

Sebagai contoh, Gempal yakin ramai penerbit yang mahu menerbitkan filem bermutu, atau sekurang-kurangnya satu filem-filem sejarah dan penuh dengan semangat patriotisme.  

Namun apabila  memikirkan tentang untung dan rugi, masing-masing perlu berfikir beberapa kali dan akhirnya menarik diri jika tiada dana daripada kerajaan.  

Risiko menerbitkan filem sejarah seperti ini cukup tinggi. Hanya mereka yang banyak duit sahaja berani dan punya dana untuk membuat pelaburan besar dengan pulangan yang belum tentu.  

Namun bagi Gempal selaku peminat filem Melayu, biarpun gagal di panggung tetapi hebat di majlis anugerah kelak.  

Filem-filem seperti inilah yang akan membuatkan Malaysia bangga dan dihargai dan bakal membawa pulang banyak anugerah. Oleh yang demikian, filem-filem seperti inilah yang harus kita angkat dan ketengahkan.  

GEMPAL: Wajah kita, filem kita