KUALA LUMPUR - Amanah bersetuju dengan tindakan Presiden Pas, Dari Seri Abdul Hadi Awang yang mahu melihat dahulu draf cadangan BN yang akan membentangkan Rang Undang Undang 355 (RUU355) di Dewan Rakyat.

Pengerusi Amanah Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah berkata, pendekatan yang sama turut diambil oleh Amanah dalam menyatakan pendirian terhadap RUU355.

"Saya bersetuju 100 peratus dengan kenyataan beliau (Abdul Hadi) itu. Sebelum ini saya sendiri turut melakukan perkara yang sama di mana kami hanya boleh menyatakan pendirian setelah meneliti apa yang akan dibentangkan Pas.

"Namun saya diasak berkali-kali hingga ada ahli Pas yang menghantar memorandum untuk mendesak saya untuk bersetuju dan menyokong RUU 355 tanpa saya berpeluang menelitinya terlebih dahulu," katanya ketika ditemui di lobi Parlimen, hari ini.

Sebelum ini Hadi membuat kenyataan mahu meneliti terlebih dahulu draf cadangan BN yang akan membentangkan Rang Undang-Undang 355 (RUU355) bagi memastikan ia selari dengan matlamat Pas dalam perjuangkan RUU355.

Kata Raja Bahrin, sehingga kini Amanah tidak boleh menyatakan pendirian terhadap perkara itu memandangkan Pas menangguhkan sebanyak dua kali pembentangan RUU355 di Dewan Rakyat.

"Disebabkan itu kita tidak boleh membuat pendirian apatah lagi tidak ada maklumat lengkap tanpa pembentangan terperinci terhadap RUU355 ini. Samalah seperti Pas mahu teliti pembentangan RUU355 BN.

"Saya harap ahli dan penyokong Pas yang menuduh kami dengan pelbagai tohmahan memahami situasi kami kerana Pas turut lakukan perkara yang sama sekarang," katanya.