PADA peringkat awal, video yang dimuat naik di laman Facebook Disember lalu melibatkan dua pemuda warga Afrika mendendangkan lagu asal kumpulan Khalifah, Hang Pi Mana dengan baik hanyalah sekadar untuk suka-suka.

Namun siapa sangka, video yang berdurasi lebih seminit itu menjadi viral hingga meraih perhatian yang bukan calang-calang dari netizen.

Ramai yang kagum dan tidak kurang seronok dengan gelagat mencuit hati mereka.

Ini kerana, agak jarang warga Afrika terutamanya yang boleh mendendangkan lagu Melayu dengan fasih.

Lalu, ia memberi ruang besar buat pemuda bernama Omar Kaiho ini dalam merealisasikan impian yang sudah lama terpendam.

Katanya, sudah lama dia memasang angan-angan untuk berjinak-jinak dalam dunia hiburan.

Mengakui dirinya  juga gemar mempelajari bahasa asing, pelajar semester akhir Ijazah Sarjana Muda Pendidikan dalam pengkhususan Teknologi Maklumat dari Universiti Pendidikan Sultan Idris (Upsi), Tanjung Malim ini, jujur mengakui video Hang Pi Mana itu dilakukan untuk sebuah projek di media sosial.

“Sebelum ni, saya ada buat projek video pendek berjudul Celup-Celup dan ia juga boleh ditonton menerusi saluran Projek Komedi di YouTube.

"Jadi penerbit minta saya hafal lagu tersebut sebelum proses rakaman dilakukan. Bila dah siap rakam, saya muat naik di FB. Terkejut juga bila dapat perhatian netizen,” katanya jujur.

Single pertama

Lalu perhatian yang diraihnya itu memberi peluang buat lelaki berusia 30 tahun ini untuk terus berkarya menerusi single berjudul Malaysia Yang Ku Cinta.

Menariknya, lagu tersebut ditulis Harry, iaitu anggota kumpulan Khalifah sendiri bersama Encik Hadi dari Music Valley Malaysia.

“Alhamdullilah, lebih dua minggu ia dimuat naik di YouTube dan sudah mencecah lebih 50,000 tontonan. Terima kasih buat yang menyokong,” terang Omar yang turut menambah, cita-citanya untuk memiliki single sendiri dan terlibat dalam dunia hiburan sudah berjaya direalisasikan.

“Jadi saya kira ini adalah satu percubaan untuk mencari tapak dalam dunia hiburan di Malaysia.

Kalau nak diikutkan, memang ada rancangan untuk rakamkan single baru lagi selepas ini,” tambah Omar yang terharu dengan reaksi positif yang diterimanya.

“Bercakap soal respons, kebanyakannya terkejut dengan kebolehan saya menyanyikan lagu Bahasa Melayu. Kata mereka, ia sesuatu yang berbeza. Rasa gembira dan secara tidak langsung memberi semangat pada saya,” akuinya lagi.

“Tetapi ada juga yang tidak suka. Bagaimanapun, saya tidak boleh puaskan hati semua orang.

"Cuma yang suka itu lebih ramai daripada yang tidak suka,” luah Omar yang kini sudah pun merancang merakamkan sebuah lagu khas sempena Aidilfitri tahun ini.