Memasuki tahun kedua menyambut Aidilfitri sebagai seorang selebriti yang dikenali ramai, pelakon dan pengacara, Mira Filzah mengakui semakin teruja menunggu 1 Syawal.

Jika tahun lalu, Mira tidak sempat mengambil cuti raya lebih lama kerana terikat dengan jadual penggambaran, tahun ini dia mengambil pendekatan sebaliknya untuk meluangkan lebih masa beraya bersama keluarga.

“Tahun lepas raya Mira agak kelam kabut kerana jadual kerja terlalu padat bermula dari bulan puasa sehinggalah selepas raya membuatkan banyak benda yang Mira tertinggal dan tak dapat lakukan bersama keluarga.

“Jadi bila ibu dah tegur tentang perkara itu, Mira cuba sebaiknya untuk menyusun jadual dengan lebih teratur pada tahun ini dan memastikan agar Mira dapat cuti lebih lama,” katanya yang merupakan duta kempen ‘Terima kasih’ TV3/TV9. Lebih menyeronokkan kata Mira, biarpun dia sudah berkerjaya dan mempunyai duit sendiri, persiapan rayanya saban tahun tetap diuruskan oleh keluarga, terutama ibunya yang sentiasa menjadi orang yang paling sibuk setiap kali raya tiba.

“Selalunya Mira memang tak sempat buat apa sebab ibu sudah siap-siap merancang itu dan ini lebih awal, baik untuk baju raya kami adik-beradik mahupun untuk keperluan di rumah semenjak Mira belum bergelar artis lagi.

“Jadi Mira hanya fokus kepada sambutan raya sahaja di mana setiap tahun menjadi kemestian kami untuk pulang beraya di Ipoh dan Tronoh, Perak yang juga merupakan kampung ibu dan ayah Mira,” katanya.

Mira Filzah melaram 24 pasang baju

Kemeriahan raya Mira pada tahun ini turut berganda apabila ditaja 24 pasang baju raya selaku duta jenama Ariani sempena musim perayaan ini dan menurut Mira, inilah jumlah baju raya yang paling banyak pernah dimilikinya untuk menyambut raya .

IKLAN

“Alhamdulillah rezeki raya untuk tahun ini dan sekali gus memudahkan Mira merancang nak pakai baju apa yang lebih sesuai bila nak beraya di rumah saudara mara Mira nanti.

“Setiap kali raya, kami sekeluarga memang sangat mengutamakan aktiviti ziarah sanak-saudara seramai mana yang boleh untuk menjaga silaturahim antara kami.

“Maklumlah masing-masing tinggal berjauhan dan tidak mempunyai kesempatan untuk berjumpa pada hari biasa sehinggakan kadang-kadang dah tak berapa kenal dengan saudara sendiri bila lama sangat tak jumpa,” akui Mira yang bakal muncul dengan telefilem raya Jula Juli Bintang Putus Cinta ini.

Mira Filzah melaram 24 pasang baju

Rumah dikunjungi tetamu sehingga 11 malam

IKLAN

Menurut Mira lagi, sesuatu yang cukup dinantikan setiap kali pulang beraya di kampung juga adalah untuk berjumpa dengan sepupu-sepupu yang kebanyakan sebaya dengannya untuk berkongsi tentang perkembangan terkini mereka.

“Mira mempunyai ramai sepupu perempuan yang sama baya membuatkan kami semua sangat rapat sejak dari kecil sehingga sekarang ini walaupun masing-masing dah bekerja.

“Kalau dulu masa kecil, ada sahaja aktiviti nakal yang kami lakukan bila berjumpa di rumah nenek ketika raya.

“Tetapi bila dah besar ni aktivitinya jadi lain sikit di mana kami berkumpul untuk sama-sama tolong nenek memasak di dapur sambil berkongsi tentang perkembangan diri masing-masing,” ujar anak bongsu daripada tiga beradik yang kesemuanya perempuan ini.

Berkongsi tentang pengalaman rayanya sebagai seorang selebriti buat pertama kali pada tahun lalu, kata Mira, dia melalui raya yang paling tidak menyeronokkan pada tahun lalu kerana kurang sihat.

IKLAN

“Beberapa hari sebelum raya, mata Mira terkena jangkitan dan ia berterusan sehingga hari raya menyebabkan Mira rasa sangat tidak selesa nak berjumpa dengan orang.

“Sudahlah Mira rabun, nak pakai contact lens pun dah tak boleh dan terpaksa menunggu beberapa hari sebelum ia sembuh betul-betul.

“Lucu bila ingat balik, tahun pertama beraya sebagai artis banyak sangat kejadiannya, bukan sahaja cuti raya yang sangat terhad tapi mata pula terkena menjadikan Mira serba tak kena,” ceritanya sambil ketawa kecil.

Ditanya tidakkah dia berhasrat untuk mengadakan rumah terbuka terutamanya buat peminat yang banyak menyokong kerjaya seninya selama ini, Mira tidak menolak kemungkinan itu.

“Insya-ALLAH jika ada rezeki dan kesesuaian masa, Mira sekeluarga memang teringin juga untuk mengadakan rumah terbuka buat peminat dan rakan taulan, tengoklah macam mana nanti.

“Kalau kat rumah nenek di kampung, memang tidak pernah buat Rumah Terbuka kerana rumah nenek sentiasa terbuka untuk semua tetamu yang datang tidak kiralah sama ada saudara-mara mahupun peminat-peminat Mira yang tahu di mana rumah kami.

“Kadang-kadang tu sampai jam 11.00 malam pun masih ada lagi tetamu di rumah dan kami tidak pernah ada masalah kerana memang begitulah adat dan situasi hari raya yang bukan selalu pun kita dapat raikan begitu,” akui Mira.

Biarpun sudah dua tahun beraya sebagai selebriti, kata Mira, sambutan rayanya masih lagi sama sebagaimana sebelum ini dan tidak banyak beza dengan apa yang dilaluinya sebagai orang biasa.

“Bagi Mira memang tiada beza sangat pun raya Mira sebelum ini dengan sekarang. Cuma mungkin selepas bergelar artis, persiapan untuk juadah raya perlu lebih sikitlah kerana kenalan pun semakin bertambah.

“Selain itu, semunya masih sama dan tidak ada apa yang berubah kerana bagi Mira, raya tetap raya biar apa pun kerjaya yang kita ceburi,” katanya yang katanya cukup pakar dalam menyediakan biskut cornflake madu ini.

Oleh : Wawann Mohd – Media Hiburan

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI