KONSERT amal 'Muzik4Humanity' yang berlangsung di Istana Budaya malam tadi berjaya meraih kutipan dana melebihi RM500,000 selepas dua hari penganjurannya.

Konsert tersebut juga mendapat sambutan hangat apabila lebih 1,000 tetamu memenuhi panggung untuk menyaksikan persembahan empat penyanyi tersohor negara iaitu Datuk Khatijah Ibrahim, Datuk Hattan, Datuk Ramli Sarip dan Jaclyn Victor.

Muzik4Humanity anjuran syarikat Dagang NeXchange Bhd (Dnex) dengan kerjasama Mercy Malaysia (Mercy) bertujuan mengumpul bantuan kepada kanak-kanak yang memerlukan di Kandahar, Afghanistan.

Timbalan Pengerusi Eksekutif Dnex, Datuk Samsul Bahrin berkata kesemua jumlah kutipan terdiri daripada derma dan hasil jualan tiket konsert akan dimanfaatkan dalam bentuk kewangan dan pemberian susu Halib sebanyak 1,600 kotak di bawah program Mercy Little Caliph.

"Konsert amal ini adalah sebahagian daripada program sosial korporat Dnex dalam membantu gologan yang tidak bernasib baik dan program sebegini akan diteruskan sekiranya terdapat keperluan lagi pada masa hadapan," katanya kepada Turut hadir Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

Persembahan konsert yang berlangsung selama dua jam bermula tepat pukul 8.45 malam itu mengundang nostalgia orang ramai apabila para artis jemputan menyanyikan lagu-lagu 'keramat' masing-masing.

Lebih 10 lagu popular dipersembahkan sehingga memukau penonton seperti Bisa Bonar dan Memburu Rindu nyanyian Datuk Hattan; Nyanyian Serambi dan Kamelia (Datuk Ramli Sarip); Ku Pendam Sebuah Duka dan Ku Gembira Di Sampingmu (Datuk Khatijah Ibrahim) dan Bersamamu (Jaclyn Victor). - Bernama