Akhirnya penantian selama 11 tahun penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin untuk menimang cahaya mata dimakbulkan ALLAH SWT di usia 38 tahun.

Jumaat lalu, Siti Nurhaliza membuat pengumuman khas dalam sesi santai bersama rakan media bahawa dia kini telah hamil empat bulan.

Berita ini disambut gembira semua tetamu yang berada di pekarangan rumahnya di Bukit Antarabangsa.
Tentunya berita ini juga disambut gembira oleh semua peminat-peminat Siti Nurhaliza.

Tiada kata lain yang dapat diucapkan olehnya selain daripada kata-kata syukur yang sentiasa bermain di mulut dengan kurniaan daripada ALLAH SWT ini yang baginya merupakan anugerah terindah buat dirinya dan suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, 58.

‘Letak Nama Anak Siti…’

‘Letak Nama Anak Siti…’

‘Letak Nama Anak Siti…’

IKLAN

Berdoa, berusaha

Akhirnya teka-teki ‘kehilangan’ penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza sejak empat bulan lalu daripada radar industri hiburan tanah air terjawab apabila Siti Nurhaliza sendiri memberitahu bahawa penyepiannya selama ini adalah kerana mahu memberi fokus pada kehamilan sulungnya.

“Tiada sebab lain selain daripada kerana saya mahu memberi fokus kepada kandungan ini. Jika mahu menyanyi, sampai bila-bila pun saya boleh menyanyi tetapi anak merupakan kurniaan ALLAH SWT yang cukup saya impi-impikan.

“Alhamdulillah, saya percaya pada rezeki bahawa suatu hari nanti saya akan dikurniakan cahaya mata. Berkat kesabaran, akhirnya selepas 11 tahun menanti dan berusaha, saya diberikan rezeki yang teragung ini.

 

“Jika ada yang kata saya tidak berusaha sebenarnya ini adalah salah satu usaha saya dan suami mendapatkan cahaya mata iaitu melalui rawatan kesuburan.

 

“Kehamilan sebelum ini normal kerana saya dan suami tidak mempunyai sebarang masalah cuma mungkin ketika itu saya alami keguguran kerana kurang rehat, justeru untuk mengejar masa kerana saya sudah 38 tahun, saya jalani rawatan kesuburan, selepas kali yang ketiga barulah saya hamil,” jelasnya yang kelihatan cukup ceria.

Menceritakan lebih lanjut mengenai rawatan tersebut, Siti Nurhaliza memberitahu selama tiga bulan dia hanya duduk di dalam bilik sahaja.

IKLAN

“Selepas melalui rawatan tersebut, sampai sahaja di rumah saya dibawa naik ke atas rumah dengan menggunakan kerusi roda ke dalam bilik.

“Mula-mula bosan juga sebab saya dah biasa bekerja, tetapi tiba-tiba disuruh duduk di dalam bilik. Doktor nasihati saya supaya rehatkan emosi, jangan stres dan tidak boleh banyak bergerak.

“Inilah pengorbanan dan usaha saya untuk dapatkan cahaya mata.

“Oleh itu, saya terfikir untuk turut berkongsi dengan mereka di luar sana yang sukar untuk hamil tentang rawatan yang telah saya lalui ini. Mudah-mudahan lebih ramai lagi ibu-ibu yang akan peroleh cahaya mata,” katanya yang akan bekerjasama dengan pusat rawatan tersebut.

Impi anak perempuan

Setiap ibu hamil pasti akan yang mengalami pelbagai alahan mengikut kekuatan tubuh badan sendiri. Siti Nurhaliza juga tidak terkecuali dengan perkara tersebut.

Jelasnya, selepas hamil dia merasakan kulit wajahnya berubah menjadi kasar sehinggakan dia tidak mahu untuk bertemu dengan orang lain kecuali keluarganya sendiri.

“Selain itu, kurang makan pedas, kuetiau tak boleh makan dan tak boleh masuk ke dapur. Makan setiap dua jam tetapi tak ada selera nak makan cuma kena makan sebab ada gastrik. Mula-mula berat saya turun dan sekarang dah naik sehingga 70kg.

IKLAN

“Kadang-kadang tak ada mood,” ujarnya yang tidak lekang dengan senyuman di bibir.
Pun begitu, tambah Siti Nurhaliza, dia gembira kerana telah dapat lalui pengalaman sebagai ibu hamil yang disifatkannya cukup indah.

 

“Selepas hamil barulah kita dapat rasa sendiri betapa besarnya pengorbanan seorang ibu itu. Walaupun sukar tapi cukup indah. Saya kagum dengan ibu-ibu yang mempunyai ramai anak,” jelasnya.

Bercerita mengenai impian jantina anak, Siti Nurhaliza memberi bayangan inginkan anak perempuan.

“Jika anak perempuan, akan letak nama bermula dengan Siti, itu dah wajib,” katanya sambil ketawa.
Malah Datuk K juga telah menyediakan nama untuk anak mereka itu tetapi belum didedahkan lagi sehingga jantina anak itu betul-betul diketahui. Siti Nurhaliza turut berkata dia tidak akan merahsiakan jantina anak dalam kandungan.

“Bila dah cerita ini, barulah saya lega kerana dapat berkongsi cerita dan pengalaman dengan ibu-ibu hamil dan bakal-bakal ibu nanti. Setiap perkembangan saya akan kongsikan di media sosial jika perlu,” katanya.

Mengikut perkiraan dijangka Siti Nurhaliza bersalin pada bulan Mac 2018. Pun begitu sehingga kini dia belum lagi memutuskan untuk bersalin di hospital mana.

Hajat lama

Sementara itu, sebagai suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa atau mesra dengan panggilan Datuk K turut mengulas bahawa ini merupakan hajat yang lama , yang mereka impikan.

“Lebih kepada Siti, saya mahu dia rasa menjadi wanita hamil. Setakat mengandung ini, dia tak banyak kerenah cuma tak boleh lama berpisah. Sering akan tanya jam berapa nak balik ke rumah.

“Doakan agar semuanya berjalan lancar, bayi sihat dan sempurna,” jelasnya ringkas.

 

Teks: Meen Tahrin Foto: Nurulniza Suhaimi

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI