Bukan hanya sebagai pakar motivasi dan penyanyi, Heliza Helmi juga merupakan aktivis kemanusiaan selain aktif dalam bidang pengacaraan.
 
Kini, Heliza lebih berfokus pada kerja-kerja amal dengan menyertai pelbagai badan bukan kerajaan (NGO) seperti Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Muslim Care, Aman Palestin dan Peace for Yaman.

“Saya juga masih terbabit sebagai pengacara dalam program SIS di TV9,” katanya.

Secara tidak langsung, kesibukan dengan pelbagai tugas membataskan Heliza untuk kembali aktif berlakon.

“Saya masih menerima tawaran berlakon tetapi jadual yang padat menyebabkan saya terpaksa menolak.

“Tapi, itu bukan bermakna saya tak mahu berlakon cuma masih belum berkesempatan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Heliza bakal muncul dengan single terbaru, Izinkanlah hasil ciptaan Erwan Muhibbain.
 
Pelakon Warkah Cinta ini juga akan tampil dengan single, Meriahnya Hari Raya, hasil kolaborasi dengan butik pakaian Elle Zada sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.
 
Menyanyi untuk berdakwah
 
Dalam menarik perhatian masyarakat terutama generasi muda, Heliza lebih selesa mengambil pendekatan berdakwah sambil berhibur.
 
Bahkan, selebriti berusia 31 tahun ini mengakui diminta sendiri oleh penganjur untuk menyanyi ketika menjayakan sesuatu program motivasi mahupun ceramah.

IKLAN

“Biasanya, apabila saya terlibat dalam talk atau forum, saya akan buatnya secara muzikal memandangkan saya juga penyanyi.

“Lagipun, saya dapati kaedah itu lebih berkesan sebagai usaha untuk berdakwah.

“Apa yang penting, setiap apa yang saya lakukan itu dapat memberi manfaat dan faedah kepada orang lain,” katanya pada Media Hiburan.

Terus berdakwah, Heliza bagaimanapun menyedari akan keterbatasannya sebagai wanita lebih-lebih lagi apabila melibatkan soal hukum agama.
 
Tidak mahu berbuat silap, anak kelahiran Terengganu ini mengakui membuat rujukan mengenai aurat suara wanita

IKLAN

“Saya sendiri sangat teliti mengenai perkara ini.

“Mahukan kepastian, saya merujuk dengan beberapa guru agama bagi mencari jawapan.

“Apa yang saya dapati, memang banyak hukum dan pandangan mengenai perkara ini,” katanya

Katanya, ada beberapa garis panduan bagi wanita mengenai aurat antaranya lirik, lokasi persembahan dan keadan-keadaan tertentu.
 
Pada masa sama, Heliza juga akan membuat rujukan sebelum meneruskan persembahan yang dirancang bagi mengelakkan perkara tidak diingini

IKLAN

“Sekiranya apa (persembahan) yang dirancang itu OK, barulah saya akan proceed.

“Biasanya, saya juga akan menerima pendapat daripada individu yang arif agar persembahan itu menjadi lebih baik,” katanya.

Malah, peserta Akademi Fantasia musim kelima ini pernah memperlahankan karier nyanyiannya semata-mata mencari jawapan soal tersebut.
 

“Saya pernah rasa bersalah dan mencari-cari jawapannya.

“Akibatnya, saya cuba relaks dan tarik handbrake sekejap dalam bidang nyanyian.

“Tapi, saya menyanyi pun tak ada lengok-lengok, hanya ingin menyampaikan sesuatu mesej dakwah,” katanya.

Pun begitu, Heliza terbuka menerima pandangan atau pendapat demi usaha mencari kebaikan dalam meneruskan karier nyanyiannya.

“Alhamdulillah, saya melihat karier nyanyian ini sebagai sesuatu yang dapat memberi manfaat kepada orang ramai.
 
“Tapi, saya juga tahu, setiap orang ada pandangan masing-masing. Jika saya ada buat salah, maka tegurlah. Insya-ALLAH, saya akan cuba perbaiki kelemahan saya.
 
“Itu juga untungnya apabila kita berpeluang ikut kelas usrah,” katanya yang ligat menjayakan program ceramah dan motivasi bersama adiknya, Hazwani Helmi.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI