JIKA sebelum ini watak pontianak sinonim dengan pelakon cantik Maya Karin, namun ada pelakon yang menyimpan hasrat melakukan watak sama bagi mencabar kemampuan diri.

Pelakon berusia 27 tahun, Ezzaty Abdullah, mengidamkan watak itu pontianak tetapi sehingga kini masih belum tertunai.

Saya rasa watak itu menarik kerana kita sendiri tidak tahu bagaimana agaknya perasaan hantu itu yang sebenar.

“Selain itu dapatlah saya melihat sejauh mana kemampuan saya dari segi mental dan fizikal untuk 'membawa roh' lain ke dalam diri. Jadi dari situ, saya boleh perbaiki kelemahan yang ada,” katanya bersungguh.  

Pun begitu, kelibat Ezzaty di kaca TV semakin agak berkurangan.  Dia juga mengakui hal tersebut dan pernah putus asa dalam bidang lakonan kerana kurang tawaran.

Bertitik tolak dari situ, katanya, dia memulakan perniagaan dan kini jadualnya mula padat dan tiada masa berlakon.  

"Jadi, terpaksalah saya tolak beberapa tawaran daripada beberapa produser ketika itu.  

“Selepas itu, saya sedar semakin kurang tawaran tapi sekarang Alhamdulilah bisnes dah ok dan saya mahu aktif berlakon semula,” jelasnya.  

Kekok berlakon dengan suami

Berlakon dengan suami sendiri bagi sesetengah orang adalah perkara yang mudah.  Namun bagi Ezzaty, gandingan bersama suaminya Azwan Kombos membuatkan dia sedikit kekok. 

“Memang kekok tapi saya bersikap profesional dan anggap tuntutan kerja serta tanggungjawab sebagai pelakon,” ujarnya.  

Pasangan tersebut ditampilkan bersama sebagai hero dan heroin menerusi telefilem GF Aku Amnesia yang sudah mula ditayangkan di saluran HyppTV.

Dalam perkembangan lain, Ezzaty bakal muncul menerusi telefilem arahan Shuhaimi Lua, Azrul Bendul dan digandingkan dengan pelakon Aiman Hakim April depan.