MESKIPUN perjalanannya dalam bidang seni dilihat mudah, penyanyi yang kini sedang menempa nama, Elizabeth Tan tidak pernah mengambil kesempatan atas situasi itu, sebaliknya menggunakan peluang itu untuk memperbaiki kekurangan diri.

Mengakui adakala populariti seakan menjerat dirinya, anak kelahiran Kuala Lumpur yang cukup mesra disapa sebagai Lizzy ini tidak pernah lupa tujuan asal dia berada di dalam industri seni sejak tiga tahun lalu.

“Suatu hakikat yang tak dapat saya nafikan, nasib menyebelahi saya ketika di awal penglibatan apabila hanya dengan satu lagu, saya mula dikenali.

“Namun saya tidak mahu hanya bergantung kepada nasib sahaja dan terus berusaha menempatkan diri dalam bidang ini.

“Ada peluang saya belajar, saya belajar. Meskipun ia taklah secara formal melalui kelas, namun saya banyak menambah ilmu menerusi pengalaman ketika bersama mereka yang lebih senior mahupun belakang tabir ,” akuinya jujur.

Pada tahun ini, sekali lagi penyanyi  Knock-Knock ini berjaya bergelar finalis di Anugerah Juara Lagu ke-31 (AJL31) yang bakal berlangsung pada 22 Januari depan.

“Saya anggap ini sebagai rezeki, apatah lagi sebagai orang baru dalam industri, saya memang perlukan lebih banyak pendedahan terutama di pentas besar dan berprestij seperti AJL ini.

“Jika tahun lalu saya cukup gementar di pentas AJL, tahun ini mungkin saya lebih relaks kerana tampil bersama rakan duet, Awi Rafael,” katanya yang bertanding menerusi lagu Setia.

Menyentuh persiapannya untuk AJL31, kata Lizzy, dia hanya sempat berlatih dalam tempoh seminggu sahaja kerana terikat dengan pelbagai komitmen.

“Walaupun hanya mempunyai masa seminggu sahaja untuk membuat latihan, namun akan cuba melakukan yang terbaik agar tak mengecewakan mereka yang menyokong saya selama ini.

“Dari segi susunan lagu, tak banyak perubahan yang kami tampilkan kerana keutamaan ialah memberi impak kepada penonton dan dalam masa yang sama memastikan mesej yang dibawa menerusi lagu ini sampai kepada penonton,” ujarnya yang pernah dinobatkan sebagai Artis Baru Terbaik Anugerah Planet Muzik 2015.

Juri pertandingan nyanyian

Dalam kesibukannya merencana kerjaya nyanyian, Lizzy memberitahu turut menerima banyak tawaran berlakon filem dan drama.

“Jujurnya saya tak tahu kenapa sepanjang tahun lalu dan berlarutan sehingga tahun ini, saya terima banyak sekali tawaran berlakon dan kesemuanya adalah filem atau drama berbahasa Melayu.

“Banyak yang saya terpaksa tolak, bukan kerana tak minat tetapi buat masa ini saya belum begitu yakin apatah lagi penguasaan bahasa Melayu masih kurang.

“Walaupun orang nampak saya boleh berbahasa Melayu dengan baik, namun menyanyi dan berlakon adalah dua bidang yang cukup berbeza dan saya tak mahu susahkan pihak lain dengan kekurangan ini,” katanya yang pertama kali berlakon menerusi filem Usop Wilcha: Mengonjang Makhluk Muzium (2015).

Bagaimanapun, sempena tahun baru 2017 ini, Lizzy berhasrat mengambil kelas bahasa Melayu dalam usaha meningkatkan penguasaan bahasa kebangsaan sekali gus menambahkan keyakinan diri untuk berlakon.

“Saya memang berhasrat untuk ambil kelas, cuma belum dapat waktu yang sesuai lagi selain dalam pertimbangan memilih tempat yang bagus untuk tujuan itu.

“Sebenarnya saya tidak suka nak rancang sangat, takut tak menjadi, namun saya akan cuba sebaik mungkin untuk melakukan sesuatu bagi mengetengahkan potensi diri,” katanya yang baru sahaja selesai menjalani penggambaran filem Buskers sebagai cameo.

Dalam perkembangan lain, Lizzy juga mendapat peluang melebarkan pengaruhnya ke negara jiran, Indonesia apabila diundang menjadi juri sebuah pertandingan nyanyian, Just Duet yang berlangsung selama lapan minggu.

“Tawaran ini pada awalnya sangat menakutkan saya kerana menyedari kedudukan sebagai artis baru yang tentunya belum layak duduk di kerusi juri, apatah lagi bersama dengan nama-nama besar seperti Once, Mey Chan dan Mike Mohede.

“Bagaimanapun, setelah diyakinkan pihak pengurusan yang mahu saya melihat peluang ini sebagai satu usaha belajar dan menimba pengalaman baru, saya akhirnya bersetuju dengan tawaran itu.

“Benarlah kata mereka, sepanjang terlibat dalam program ini saya belajar banyak benda baru dan dalam masa sama memperoleh pelbagai pendedahan tentang industri seni di sana,” akuinya yang mempunyai personaliti cukup sederhana.