BEKAS peserta Akademi Fantasia musim ke-9 (AF9), Azri yang didakwa mendera anak tirinya menanggap apa yang berlaku adalah ujian untuknya dan keluarga.

Suami kepada bekas juara program Mentor musim kelima Salma Andi-Asis mengakui sangat menyayangi anak tirinya itu.

"Atas nasihat peguam, saya tidak dapat memberikan apa-apa komen buat ketika ini kerana ia sudah menjadi kes mahkamah.

"Apapun segala yang berlaku ini saya anggap sebagai ujian ke atas kami sekeluarga," ujar Azri dipetik Media hiburan.

Azri atau nama sebenarnya Mohammad Azri Abdullah dihadapkan di Mahkamah Sesyen atas tuduhan mendera anak tirinya dengan mencelup kedua-dua tangan mangsa ke dalam air panas, tahun lalu.

Azri, 30, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar.

Sementara itu, Salma berkata, sekiranya benar Azri melakukan perbuatan tersebut, dia sebagai ibu kandung pastinya  tidak akan membiarkan ia terjadi.

"Sebagai ibu, semestinya saya akan melindungi anak dengan sebaik-baiknya dan tidak akan membiarkan sesuatu yang buruk berlaku ke atasnya," ujarnya.

Menurut Salma, hubungan suami dan anak kandungnya sangat rapat dan tidak pernah bermasalah.

Azri dan Salma berkahwin pada 31 Januari tahun lalu dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata.