Bergelar artis dan membina kerjaya dalam dunia glamor tiada dalam angannya, namun Mohd Khardanie Anwa atau lebih dikenali sebagai Danny XFactor akur dengan ketentuan perjalanannya sebagai anak seni.

Sekitar 1997, anak kelahiran Kelantan ini berhijrah ke Kuala Lumpur selepas tamat persekolahan dengan niat mencari pekerjaan bagi membantu keluarganya.

Pelbagai pekerjaan yang dilakukan termasuk menjadi pelayan di restoran makanan segera dan bekerja di café sehinggalah dipanggil ke sesi uji bakat oleh pihak KRU Records sekali gus 360 darjah kehidupannya berubah.

“Saya datang ke KL hanyalah untuk cari kerja menyara diri sendiri dan keluarga sebab dah tamat sekolah.

 

“Saya datang secara berkumpulan dengan kawan-kawan sekampung, dan salah seorangnya adalah pelakon popular, Pekin, yang ketika itu mempunyai misi yang sama dengan saya,” ujarnya.

Menurutnya Danny lagi, peluang ke dunia glamor bermula selepas dia menghantar gambar di ruangan pencarian model di sebuah majalah atas desakan rakan-rakannya ketika bekerja di restoran makanan segera.

“Tak sangka saya terpilih ke sesi fotografi dan wajah saya saya disiarkan dalam ruangan pencarian model majalah tersebut. Masa tu seronok sangat sangat bila orang cakap tentang saya yang dah masuk majalah.

 

“Orang dah anggap saya popular walaupun hanya masuk untuk ruangan itu saja dan bukannya dah jadi artis.

Danny juga terkejut apabila ada peluang lain datang apabila editor majalah tersebut menghubunginya dan memberitahu pihak KRU mencari mahu dia menghadiri sesi uji bakat.

IKLAN

Danny Tak Pernah Mimpi Jadi Artis

Sejarah hitam jadi pengajaran

Pertemuan dengan Edry Abd Halim sekitar tahun 1999, yang ketika itu mewakili KRU Records ternyata menjadi titik mula Danny melangkah dalam dunia seni menjadi ahli kumpulan X Factor bersama Fendi, Zach, Shah dan Ivarn.

IKLAN

“Single pertama kami, Sehangat Api menjadi hit dan mendapat sambutan luar biasa daripada peminat sehingga berjaya menaikkan nama kumpulan XFactor dalam sekelip mata dan semua itu kami tak jangkakan langsung.

 

“Gaji pertama saya sebagai artis sebanyak RM1,000 dan jumlah itu terlalu besar buat saya ketika itu yang kemudiannya menggunakan wang itu untuk membeli baju dan telefon.

 

“Tidak hanya dalam bidang nyanyian, saya juga menerima tawaran untuk iklan komersial, pengacara dan juga pelakon,” kata Danny yang menjadi kegilaan ramai peminat wanita.

Antara filem lakonan Danny ialah Seri Dewi Malam, No Problem!, KL Menjerit, KL Menjerit 1, Idola, Budak Kelantan dan Maut.

Danny yang pernah tampil dalam iklan Nescafe, KFC dan Nokia juga mengakui ketika itu dia turut dikritik apabila banyak pihak yang menganggapnya popular hanya kerana menjual ‘wajah jambunya’ dan bukan bakat.

“Mungkin benar bakat saya tidak sehebat mana, tapi setiap ahli dalam kumpulan kami mempunyai peranan masing-masing dan saling melengkapi.

 

“Saya tak kisah pun orang kata saya hanya jual muka sebab mereka tak tahu bagaimana usaha saya untuk berjaya dan bersungguh-sungguh memperbaiki diri,” katanya yang pernah berjalan kaki dari rumah di Setapak ke Keramat setiap hari selama sebulan latihan di studio KRU dan belajar tentang dunia nyanyian.

Sungguh pun begitu, Danny turut mengakui menerima kejutan budaya apabila hidup dalam dunia glamor secara tiba-tiba, mampu hidup mewah dan disanjung ramai peminat sehingga lupa seketika niat asalnya datang ke Kuala Lumpur.

IKLAN

“Saya terjebak dengan kontroversi apabila ditangkap khalwat ketika ketika sedang popular. Masa tu saya rasa gelap dan pasrah jika kerjaya saya berakhir di situ.

Bagaimanapun, Danny bersyukur kerana pihak pengurusan dan peminat memberi peluang kedua menyedarkannya dari khilaf itu malah bersungguh-sungguh mengubah sikap diri.

“Pernah ketika buat konsert di Brunei, saya takut nak jumpa peminat, risau kena kecam atau tidak dipedulikan tapi rupa-rupanya mereka satu stadium jerit nama saya membuatkan saya menangis sebab terharu,” katanya yang pernah dinobatkan sebagai Pelakon Harapan Terbaik Festival Filem Malaysia ke-15.

Lebih 15 tahun berlalu, selepas bertugas di awan biru sebagai pramugara, Danny kini lebih aktif dengan kerja-kerja belakang tabir dan banyak terlibat dengan bidang pengurusan acara selain menjadi pemandu Grab Car secara sambilan.

“Saya selesa dengan kehidupan sekarang, hidup bersama isteri selepas lebih lima tahun berkahwin dan buat kerja-kerja belakang tabir yang jauh berbeza sebagaimana sebelum ini.

 

“Mulai awal tahun baru-baru juga saya mula memandu Grab Car secara sambilan untuk menambah pendapatan jika tidak terikat dengan kerja-kerja pengurusan acara.

 

“Walaupun pernah ada tanya tak malu ke artis macam saya bawa Grab Car, saya tak pernah kisah sebab saya suka dengan apa yang saya lakukan dan tidak ada masalah dengan apa pun tanggapan orang,” katanya yang sempat merakamkan dua album bersama XFactor.

Teks Oleh: Wawann Mohd
 

 

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI