PELAKON popular, Aiman Hakim Ridza meminta peminat drama dan filem Korea tidak membanding-bandingkan tahap lakonannya dengan pelakon dari negara itu menerusi filem pertamanya, Kimchi Untuk Awak.

Dalam filem arahan Michael Ang itu, pelakon berusia 28 tahun ini menggalas watak utama iaitu seorang lelaki Korea bernama Daniel Lee bahkan penggambaran juga dilakukan di Korea Selatan, tahun lalu.

"Sebenarnya, saya tak takut perbandingan itu kerana percaya setiap lakonan itu perlu ada budaya Malaysia.

"Jadi, K-pop macam mana pun, nilai-nilai Malaysia masih perlu diterapkan.

"Tapi, secara umumnya, saya rasa ia juga adalah sesuatu yang tidak wajar dilakukan," katanya pada Media Hiburan.

Katanya, setiap pelakon bertanggungjawab membuat eksperimen mengenai sesuatu watak yang ditawarkan.

"Tak semestinya kalau nak K-pop kita bagi K-pop sepenuhnya.

"Saya sendiri ada pemahaman mengenai watak itu, Jadi, saya harus try and error," terangnya.

Mengulas  mengenai filem itu, Aiman mengakui belajar bahasa Korea daripada kakaknya yang pernah menetap di sana selama 10 tahun.

"Awalnya, saya rasa agak sukar kerana belum menerima skrip. Oleh sebab itu, saya belajar bersungguh-sungguh untuk menguasai bahasa Korea.

"Tapi, apabila dapat skrip, barulah lega sikit sebab penggunaan bahasa itu tidak terlalu banyak," katanya.

Bukan itu sahaja, pelakon drama Diandra ini juga mengambil inisiatif mengkaji  terutamanya mengenai penampilan dan gaya pertuturan orang Korea.

"Saya seronok menjadi lelaki Korea dalam filem tersebut.

"Bahkan, saya juga sebenarnya peminat drama dan filem Korea," katanya.

Kimchi Untuk Awak menyaksikan Aiman bergandingan semula dengan Emma Maembong selain menampilkan barisan pelakon lain seperti Janna Nick, Dira Abu Zahar, Normah Damanhuri dan Annuar Chew.

Filem terbitan Astro Shaw dan Darkwave Pictures ini akan menemui penonton bermula 30 Mac depan.

Dalam perkembangan lain, Aiman bakal muncul menerusi drama komedi, Black Belt Kaler Pink di samping Aaron Aziz, Kamal Adli dan Farali Khan.