BIARPUN perjuangannya dalam program Gema Gegar Vaganza (GGV) terhenti pada minggu kedua Sabtu lalu, namun Bienda atau nama sebenarnya Nor Razlina Razli tidak berasa kecewa atau ralat kerana percaya sudah memberikan yang terbaik ketika itu.

Menganggap bukan rezeki dirinya untuk terus bertahan hingga ke penghujung program tersebut, Bienda sebaliknya berterima kasih atas peluang yang diberikan kepadanya untuk menjadi sebahagian daripada program itu sekali gus membuat kemunculan semula setelah lama tidak menyanyi di pentas.

“Kalau diikutkan saya sebenarnya tidak pernah menyertai apa-apa pertandingan di pentas besar dan GGV adalah julung kalinya, jadi saya tidak menyasarkan untuk menang sebaliknya lebih kepada menimba pengalaman.

“Walaupun tiada keberanian pada awalnya, saya mengambil cabaran ini kerana tertarik dengan konsep program ini yang mengetengahkan lagu-lagu berkonsepkan ketuhanan dan membawa mesej-mesej positif untuk masyarakat.

“Alhamdulillah saya sudah melakukan sehabis baik sepanjang berada dalam program ini, cuma mungkin  rezeki tidak menyebelahi saya untuk terus bertahan dan akhirnya tersingkir pada minggu kedua,” ujarnya yang mendapat tunjuk ajar vokal daripada penyanyi Hael Husaini sepanjang berada dalam GGV.

Positif dengan segala yang sudah ditentukan untuknya, Bienda menjelaskan dia kini kembali kepada perancangan asalnya sebelum menyertai GGV iaitu untuk tampil dengan single terbaru dan kembali aktif dalam bidang lakonan.

“Sebenarnya kalau mengikut perancangan asal, saya mahu tampil dengan single baru ini pada awal tahun selepas siap merakamkan lagu ciptaan DJ Fuzz, Jaga Hati, namun tidak sangka pula mendapat tawaran untuk menyertai GGV.

“Jadi perancangan itu kami tangguhkan seketika untuk memberi laluan kepada saya menumpukan perhatian kepada GGV sehingga bulan Mei depan.

“Kini bila saya sudah selesai dengan GGV, projek yang tertangguh ini akan kembali mengambil tempat dan kami dalam proses perbincangan untuk memilih waktu terbaik melancarkan single ini kepada umum,” kata Bienda yang sebelum ini cukup popular dengan lagu Penantian.

Masih mengekalkan konsep World Music, Bienda yang juga anak kepada penyanyi dangdut, Sheeda ini, mengakui mahu terus menyampaikan mesej-mesej positif kepada masyarakat menerusi lagu nyanyiannya.

“Untuk single terbaru ini saya masih menampilkan konsep world music sebagaimana sebelum ini, cuma kali ini saya ada memasukan sedikit elemen pop untuk disesuaikan dengan kehendak pasaran muzik hari ini.

“Saya harap menerusi single terbaru ini, orang akan kembali mengingati yang saya ini adalah seorang penyanyi walaupun sekarang lebih aktif sebagai pengacara dan penyampai radio selain berlakon,” ujarnya yang pernah menganggotai kumpulan Solehah di awal kemunculannya sebagai penyanyi.

Aktif berniaga

Berkongsi tentang rutinnya sebelum membuat kemunculan semula dalam program GGV, kata Bienda, sebelum ini dia sibuk di konti radio ManisFM melunaskan tanggungjawabnya sebagai penyampai radio yang beroperasi di Terengganu, setahun yang lalu.

“Saya menjadi penyampai radio berkenaan selama setahun sebelum kontrak berakhir hujung tahun lalu di mana dalam tempoh itu hampir setiap minggu saya berulang-alik ke sana untuk menyempurnakan tugas selain tanggungjawab kepada keluarga di Kuala Lumpur.

“Disebabkan komitmen sebagai penyampai dan kekangan masa, saya terpaksa melupakan seketika kerjaya nyanyian dan pernah juga menolak beberapa tawaran lakonan yang datang.

“Meskipun begitu saya seronok dengan apa yang dilakukan kerana tugasan sebagai seorang penyampai juga berkait dengan bidang seni, apatah lagi sebelum ini pun saya pernah menyandang tugas yang sama di KLFM,” kata bekas pengacara program bual bicara Nasi Lemak Kopi O ini lagi.

Pada masa sama, ibu kepada dua cahaya mata comel, Lavienda Namiraz, 5, dan Laxiendra Namiraz, 3, ini juga sangat aktif dalam perniagaan menerusi produk tudung dan pakaian Muslimah di bawah label BL by Bienda Lavinda.

“Saya berniaga bukan kerana mengikut trend dan sebagainya, sebaliknya kerana minat di manas semenjak dari dulu lagi saya saya sudah buat macam-macam perniagaan, malah pernah sebelum ini berniaga di Downtown, Cheras selama empat tahun.

“Jadi walaupun terikat dengan pelbagai komitmen dalam kerjaya seni, saya tetap luangkan sedikit masa untuk menguruskan perniagaan yang diusahakan ini.

“Insya-ALLAH pada bulan Mei depan, saya akan ke Brunei untuk membawa BL by Bienda Lavinda untuk menyertai sebuah acara karnival jualan yang diadakan di Berakas selama beberapa hari,” ujarnya yang sentiasa mendapat sokongan penuh daripada kelab peminatnya, Bienda Lavinda Lover.