Dalam kegembiraan menyambut 1 Syawal, penyanyi, Azharina Azhar mengakui tidak dapat membendung perasaan sayu dan sedihnya.

Pelantun lagu Elegi Sepi ini masih lagi terasa dengan pemergian anak angkat keduanya, Rizkie Azharin Azhar walaupun sudah tiga bulan berlalu.

“Saya menerima kehilangan anak saya dengan reda.

“Saya rasa tiada ibu dalam dunia ini yang sanggup melihat anaknya pergi dulu,” katanya dalam nada sebak kepada Media Hiburan.

Bersyukur diberikan kesempatan menjaga Rizkie, selebriti berusia 32 tahun ini menyifatkannya sebagai satu anugerah terindah daripada ALLAH SWT.

“Saya anggap diri saya bertuah walaupun ALLAH SWT hanya pinjamkannya selama 23 hari.

“Apabila menyebut tentang anak, ia tetap anak di dunia dan akhirat. Tak kiralah ibu kandung atau ibu angkat.

“Sekarang, saya hanya mahu dia bahagia di syurga dan menunggu saya,” katanya. 

Rizkie meninggal dunia disebabkan beberapa komplikasi termasuk buah pinggang rosak, pendarahan otak dan paru-paru dipenuhi susu.Penyanyi Seandainya ini juga mengakui perlu kuat dan tabah demi anak angkat pertamanya, Rahmat Azharin Aziz yang kini berusia tiga tahun.

IKLAN

“Dia sangat manja sejak kehilangan adiknya. Kadang-kadang, dia selalu bertanya adiknya pergi mana dan bila mahu pulang.

“Saya cuba bercakap dengan sebaik-baiknya kerana tahu dia masih belum faham dengan situasi sebenar,” katanya.Pada masa sama, Azharina mendedahkan ramai pihak menawarkannya untuk mengambil anak angkat yang lain.

“Ada beberapa individu yang mahu memberi anak mereka kepada saya selepas Rizkie meninggal dunia.

“Mungkin ini juga rezeki saya, tapi saya masih belum bersedia lagi.

“Insya-ALLAH, jika ada rezeki, saya akan kongsikannya,” katanya. 

IKLAN

Raya di Kuala Lumpur

Bercerita lanjut mengenai sambutan lebaran, Azharina bersyukur apabila kerja-kerja pengubahsuaian rumahnya di Puchong, selesai.

Bahkan, penyanyi Mimpi Bahagia ini akan memasang panjut atau pelita hiasan bagi mewujudkan rasa meriah ketika menyambut Aidilfitri.

“Sebenarnya, pasang color lights ini boleh dikatakan sebagai satu tradisi turun-temurun di rumah saya.

“Biasanya, ia akan berlarutan sehingga sambutan Hari Raya Aidiladha nanti,” katanya sambil tersenyum.

IKLAN

Tambahan pula, penyanyi lagu Sekian Terima Kasih ini tidak pulang ke kampung halamannya di Kota Kinabalu, Sabah.

“Saya lebih senang beraya di rumah sendiri saja. Lagipun, kampung pun dah bertukar jadi bandar.

“Saya juga tak keseorangan kerana ada anak bahkan ramai sanak-saudara di sini. Ayah dan emak tiri saya pun turun ke Kuala Lumpur juga,” katanya.

Lebih istimewa, juara Gegar Vaganza ini turut menjadi ‘orang dapur’ demi menyediakan juadah istimewa iaitu Soto Jabru (Jawa Brunei), resipi turun-temurun daripada keluarga ibunya.

“Walaupun cara penyediaannya sedikit rumit, saya tetap memasaknya sendiri bahkan tak pernah menggunakan khidmat katering untuk menjamu orang ramai. 

“Kalau arwah nenek saya ada lagi, pasti dia akan menyediakan wajik yang juga makanan kegemaran saya.

“Selain masakan, setiap tahun juga saya wajib membuat biskut raya. Macam tahun lalu, saya membuat 12 jenis biskut sambil dibantu pembantu rumah,” katanya yang menggemari biskut makmur

Dalam perkembangan lain, Azharina dalam perancangan melancarkan single solo dan duetnya bersama-sama penyanyi Indonesia Rizal Badila iaitu Seribu Cintaku, tidak lama lagi.

SeeNI semua! MEDIA HIBURAN ada gossip hangat nak dikongsi!
Download aplikasi seeNI sekarang!

KLIK DI SEENI