Select Page
Watak Jahat, Sebati Dengan Nama Roslan Salleh

Watak Jahat, Sebati Dengan Nama Roslan Salleh

MEMULAKAN  langkah dalam bidang lakonan menerusi pentas teater pada era tahun 1980an, pelakon Roslan Salleh, 60, mengakui tidak pernah menyesal meninggalkan profesional perguruan demi minatnya kepada seni.

Lebih 30 tahun bergelar anak seni, Roslan menimba pelbagai pengalaman menerusi puluhan filem dan drama lakonannya yang pernah dipertontonkan kepada umum.

Menurutnya ilmu lakonan yang dipelajari ketika aktif bergiat dalam teater ternyata banyak membantunya menjayakan pelbagai watak yang diberikan kepadanya.

“Selepas berhenti jadi guru, saya membuat keputusan untuk berhijrah ke Kuala Lumpur sekitar tahun 1985 untuk mencari peluang yang lebih besar dalam bidang seni.

 

“Di sini saya menyertai kumpulan teater Al-Hidayah pimpinan Kamarul AR dan dan mula mengenali beberapa rakan seangkatan seperti Datuk Jalaludin Hassan dan Ahmad Ibrahim yang kemudiannya banyak membantu saya mencari peluang dalam lakonan,” ujarnya.

Biarpun mempunyai bakat dan minat yang mendalam bidang lakonan, Roslan mengakui tidak mudah untuknya menempatkan diri kerana kebanyakan pelakon lain yang telah sedia ketika itu sangat bagus.

“Kebanyakan pelakon pada masa itu adalah mereka yang berasal daripada dunia teater, jadi mereka ini adalah pelakon yang benar-benar boleh berlakon dan bukan jadi pelakon sebab pakej fizikal sebagaimana yang berlaku dalam industri hari ini.

 

“Jadi kalau nak bersaing, kita kena berlawan dengan bakat yang masing-masing ada di mana setiap dari kita sentiasa mahu tampil dengan persembahan terbaik apabila mendapat peluang,” katanya lagi.

Menurut Roslan, di awal pembabitannya di kaca TV, dia cukup sinonim dengan watak antagonis di mana hampir puluhan drama dan filem yang menampilkan dirinya dalam karakter yang sebegitu.

“Saya tidak pernah menetapkan untuk hanya bawa watak baik atau jahat sahaja kerana sebagai pelakon kita harus mencuba pelbagai watak dan menerima cabaran yang diberikan oleh orang lain.

 

“Namun ketika itu mungkin saya dilihat lebih sesuai dengan watak sebegitu dan penonton juga menerima baik lakonan saya itu sehingga pihak penerbit atau pengarah mahu saya terus membawakan watak antagonis.

 

“Walaupun watak sebegitu menyebabkan saya dibenci orang, namun saya kira ia satu kejayaan juga apabila mampu memberikan lakonan yang berkesan sehinggakan penonton benar-benar merasakan saya ini orang jahat,” katanya yang pernah membawa watak komunis dalam drama Antara Maruah dan Pengorbanan.

Bagaimanapun seiring dengan perubahan usia, semenjak beberapa tahun kebelakangan ini, Roslan kini lebih banyak diberikan watak pratagonis yang menyaksikan dirinya tampil berbeza berbanding yang pernah diperlihatkan dalam lakonannya sebelum ini.

“Kalau waktu muda dulu saya sering diberikan watak jahat, sekarang ini barulah saya mendapat watak yang lebih pelbagai.

 

“Namun saya perasan juga banyak mendapat tawaran menjayakan drama atau filem seram yang menyaksikan saya tampil dengan watak lelaki misteri seperti filem Damping Malam, Senjakala mahupun Munafik 2,” jelasnya.

Berkongsi pengalamannya bersama peminat, kata Roslan, disebabkan dirinya terlalu sinonim dengan watak jahat agresif, peminat takut untuk mendekatinya apabila bertemunya di luar.

“Menerusi pandangan mereka, saya tahu kehadiaran saya tidak disenangi mereka yang mungkin sudah terpengaruh dengan lakonan jahat lakonan saya di TV mahupun filem.

 

“Memang tiada siapa yang mahu dekati saya kerana membenci watak yang saya lakonkan, namun alhamdulillah kebencian itu tidaklah sampai kepada perbuatan yang di luar jangkaan.

 

“Bagaimanapun situasi berbeza pada hari ini di mana setiap kali berada di luar, antara antara mereka yang datang menyapa dan meminta izin untuk bergambar,” luahnya jujur.

Roslan yang merupakan bapa kepada empat anak dan enam cucu ini turut menyatakan untuk terus aktif dalam bidang seni jika khidmatnya masih diperlukan, Terbaru, pelakon yang cukup merendah diri ini bakal tampil dengan teater Tun Fatimah bergandingan dengan Maya Karin dan Remy Ishak, di Panggung Bangsawan Melaka pada 20-21 Oktober ini.

“Semenjak aktif berlakon drama TV dan filem, saya jarang berkesempatan buat teater. Jadi Tun Fatimah menjadi ruang terbaik untuk mengubat kerinduan saya pada lakonan pentas.

 

“Dalam teater ini, saya memegang watak sebagai Bendahara yang juga merupakan orang penting di sebalik kejayaan kegemilangan empayar Melaka ketika pemerintahan Sultan Mahmud Syah.

 

“Kalau ada peluang, saya mahu kembali aktif buat teater,” ujarnya.

[KREDIT FOTO: Istana Budaya]
Selepas Menang FFM, IG Sangeeta Naik Mendadak

Selepas Menang FFM, IG Sangeeta Naik Mendadak

NAMA Sangeeta Krishnasamy tiba-tiba menjadi sebutan dan perhatian selepas kemunculannya memegang watak sebagai cikgu Cheryl menerusi filem Adiwiraku yang disifatkan sebagai jujur dalam lakonannya.

Lebih menarik perhatian, Sangeeta yang mula bergiat aktif sebagai pelakon sekitar tahun 2011 ini telah dinobatkan sebagai Pelakon Wanita Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-29 dan diikuti dengan kemenangan yang sama di Majlis Anugerah Pengkritik Filem 2017.

“Adiwira merupakan filem Melayu pertama saya kerana sebelum ini saya hanya aktif dan terlibat dalam filem Tamil sahaja.

 

“Tidak sangka pula begini impak yang saya terima di mana bukan sahaja watak itu diingati ramai tetapi juga mendapat pengiktirafan di majlis anugerah berprestij yang saya sendiri tidak pernah impikan,” luahnya jujur.

Pelakon yang cukup dikenali menerusi filem, Vennira Iravugal ini juga pernah diangkat sebagai Pelakon Wanita Terbaik di majlis Anugerah Malaysian Kalai Ulagam 2015 untuk kedua-dua kategori iaitu filem dan drama.

“Pada awalnya, minat saya dalam bidang lakonan lebih cenderung kepada teater di mana sebelum ini saya merupakan penonton setia teater terutamanya yang dipentaskan di KLPAC.

 

“Malah saya pernah mengikuti kursus lakonan teater selama 10 minggu yang dianjurkan oleh Faridah Merican sebelum bergelar artis dan ia banyak benda yang saya belajar tentang lakonan.

 

“Namun apabila diminta untuk datang uji bakat berlakon teater, saya tidak pernah hadir kerana mempunyai masalah fobia dengan sesi uji bakat,” ujarnya sambil ketawa.

Menyedari diri semakin menjadi perhatian selepas mula dikenali dalam industri filem Melayu, Sanggeta tidak menolak kemungkinan akan lebih memberi tumpuan kepada industri seni Melayu.

“Saya sebenarnya tidak kisah untuk berlakon dalam karya bahasa apapun, cuma apa yang saya pentingkan adalah kualiti naskhah yang ditawarkan, selain bentuk cabaran yang diberikan kepada saya.

 

“Apapun saya tak nafikan selepas berlakon filem Melayu ni, banyak peluang baru yang saya perolehi bukan sahaja daripada penerbit dan pengarah, tetapi juga daripada pihak media yang banyak membuka ruang publisiti kepada saya,” ujarnya lagi.

Tidak sekadar itu, Sanggeta juga mengakui kini lebih dikenali di kalangan peminat Melayu, malah jumlah pengikutnya di laman Instagram juga turut naik mendadak dan rata-rata pengikut barunya itu terdiri daripada peminat Melayu.

“Selepas berlakon dalam Adiwira dan menang di FFM29, memang jelas instagram saya dibanjiri dengan peminat-peminat Melayu yang saya lihat sangat positif dalam menyokong kerjaya seni saya.

 

“Banyak kata-kata yang dikirimkan buat saya hampir menangis terharu kerana tidak sangka mereka begitu prihatin dengan perkembangan saya,” akuinya jujur.

Selain bakal muncul dengan filem Tamil, Identity dan Ennaval, Sangeeta juga tampil dalam musim terbaru, Oh My English; Level Up yang sudah mula bersiaran di saluran Astro Ceria mulai awal Oktober.

“Nampaknya imej sebagai seorang guru masih melekat pada saya apabila sekali lagi diberi tanggungjawab untuk membawakan watak guru dalam siri popular ini.

 

“Watak guru dalam Adiwiraku memang memberikan impak besar pada saya sampai budak-budak kecil pun masih menyapa saya dengan panggilan cikgu seolah-olah saya adalah guru sebenar,” katanya yang merupakan graduan lulusan dalam bidang Undang Undang ini lagi.

 

Diana Danielle Pilih Berdiam Diri

Diana Danielle Pilih Berdiam Diri

KEMENANGANNYA sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29) baru-baru ini semestinya memberi impak yang begitu besar buat pelakon cantik Diana Danielle.

Manakan tidak, selepas hampir dua tahun berehat seketika daripada bidang lakonan kerana sibuk menguruskan anak dan rumah tangga, pelakon cantik ini kembali aktif beraksi secara sepenuh masa.

Bagaiamanapun berbanding dahulu, isteri kepada pelakon Farid Kamil ini menegaskan hanya memilih tawaran yang sesuai dan berberbaloi dengan komitmen yang diberikannya.

“Alhamdulillah banyak tawaran yang datang kepada saya, namun saya harus membuat pemilihan yang betul agar setiap penglibatan saya itu dapat memberikan kepuasan kepada diri saya sendiri dan berbaloi dengan komitmen yang saya berikan.

 

“Jadi saya perlukan skrip yang bagus agar saya bersemangat untuk keluar bekerja dan tidak rasa bersalah meninggalkan anak-anak di rumah kerana apa yang dikerjakan itu bakal memberikan sesuatu yang saya dapat banggakan,” ujarnya yang kini sibuk dengan penggambaran sebuah program travelog untuk saluran Discovery Channel.

Melihat kepada jadual kerjanya yang padat, Diana yang juga ibu kepada dua cahaya mata comel, Muhamad, 5, dan Aurora, 1, mengakui perlu lebih bijak menguruskan masa bersama anak-anak.

Malah Diana juga dilihat sering berkongsi aktivitinya bersama anak-anak menerusi media sosial sehingga menarik minat para peminatnya untuk sentiasa mengikuti perkembangan mereka sekeluarga.

“Saya seronok melihat perkembangan anak-anak yang kini semakin membesar dan bijak dengan cara mereka yang tersendiri.

 

“Perasaan yang sama turut dirasai oleh suami, ibu dan keluarga mertua saya di mana kami sentaisa dihiburkan dengan keletah anak-anak membuatkan rasa sentiasa mahu meluangkan lebih masa bersama mereka setiap ketika.

 

“Muhamad dilihat begitu mewarisi kecenderungan bapanya yang suka kepada aktiviti-aktiviti lasak yang didedahkan kepadanya semenjak kecil lagi, sementara Aurora pula mungkin lebih kepada saya yang sukakan kepada sesuatu yang cantik,” kongsinya lagi.

Mengakui kepentingan media sosial dalam kehidupan masyarakat hari ini, Diana bagaimanapun menegaskan untuk tidak mahu terlalu obses kepada medium berkenaan kerana percaya ia akan mendatangkan keburukan jika disalah guna.

“Sebagaimana orang lain, saya juga turut berkongsi tentang perkembangan semasa saya baik dalam kerjaya mahupun keluarga di media sosial, namun saya akan pastikan apa yang dikongsi itu tidaklah keterlaluan.

 

“Selalunya perkongsian itu tentang sesuatu yang mungkin peminat saya nak lihat atau tahu tentang diri saya selain perkara-perkara yang dirasakan mampu memberikan manfaat secara bersama kepada orang di luar sana.

 

“Bagaimanapun saya tak nafikan, kadang-kala walaupun kita berkongsi sesuatu yang positif, ada juga pihak yang menerima dengan perspektif yang sebaliknya sehingga mencetuskan pelbagai anggapan yang negatif.

 

“Jika berlaku situasi yang seperti itu, saya lebih suka mengambil pendekatan untuk berdiam diri dan tidak berdebat dengan mereka kerana percaya ia akhirnya akan senyap begitu sahaja,” ujar Diana.

 

Peminat Gesa Liza Hanim Masuk Gegar Vaganza 4

Peminat Gesa Liza Hanim Masuk Gegar Vaganza 4

SEMENJAK program Gegar Vaganza (GV) diperkenalkan oleh Astro, ramai penyanyi-penyanyi yang telah lama menyepi kembali menyinar dalam industri seni tanah air.

Mereka bukan sahaja berjaya mengubat kerinduan peminat-peminat setia mereka sebelum ini, tetapi juga menarik pengikut baru untuk memberikan sokongan.

Selama tiga musim bersiaran, GV telah menaikkan kembali nama Siti Nordiana, Azharina, Zarul Umbrella, Elly Mazlein, Siti Sarah, Faradhiya dan beberapa nama lagi.

Pun begitu sehingga kini nama penyanyi yang pernah popular dengan lagu Gelisah Mimpi, Liza Hanim, masih belum muncul dalam program yang semakin menjadi perhatian ramai ini.

Ramai peminat Liza yang mengharapkan agar penyanyi ini turut sama memeriahkan GV dan kembali mewarnai dunia hiburan tanahair setelah lama menyepikan diri.

Malah baru-baru ini ada antara peminat setianya yang membuat polling untuk menggesa Liza menyertai GV4 yang bakal berlangsung tidak lama lagi ini.

Liza ketika dihubungi meluahkan rasa terharunya apabila masih diingati peminat meskipun sudah lama tidak tampil dengan produk terbaru kerana begitu sibuk dengan bidang perniagaan yang sedang diceburinya.

“Sebenarnya memang ramai yang tanya tentang GV, namun mungkin bukan rezeki saya sebelum ini kerana selalunya program ini berlangsung ketika saya sibuk dengan urusan lain yang perlu didahulukan.

 

“Apa pun saya sangat berterima kasih kepada peminat yang masih ingat saya, malah terus menyokong saya sehingga ke hari ini,” katanya.

Hari ni bakal berlangsung majlis pengumuman barisan peserta yang akan menyertai GV4. Sama-samalah kita nantikan, adakah kali ini nama Liza akan tersenarai dalam musim ini ataupun peminat Liza perlu menunggu lagi untuk musim akan datang.

Sufian, Elfira Selamat Bertunang, Rancang Nikah Mac 2018

Sufian, Elfira Selamat Bertunang, Rancang Nikah Mac 2018

SELEPAS hampir lapan bulan menyulam cinta, pasangan selebriti, Elfira Loy, 23, dan Sufian Suhaimi, 25, selamat melangsungkan pertunangan kira-kira jam 4 petang tadi di kediaman keluarga Elfira di Alam Damai, Cheras, Kuala Lumpur.

Majlis yang dihadiri sekitar 100 orang tetamu itu turut menyaksikan Sufian menyerahkan lima dulang hantaran berbalas tujuh daripada pihak Elfira sebagai simbolik termeterai ikatan pertunangan di antara keduanya.

Heroin drama Qalisya itu tampak menawan menerusi persalinan rekaan Rizman Ruzaini selain disolek oleh jurusolek terkenal Najeeb Azami. Manakala Sufian pula memakai baju batik rekaan Fairuz Ramdan serta baju Melayu Rizman Ruzaini.

Setelah berbincang di antara keluarga masing-masing turut sepakat memilih bulan Mac tahun depan sebagai detik hari bersejarah mereka.

“Bulan Mac boleh dikatakan terlalu istimewa buat saya dan dia Sufian. Malah Mac depan juga kira genap setahun perkenalan kami selain ia merupakan bukan kelahiran saya. Alhamdulillah, semoga perancangan ini akan dipermudahkan, insya-ALLAH.

 

“Ikutkan kurang enam bulan lagi, kami akan berkahwin. Masa pun berjalan begitu pantas. Mujur keluarga banyak membantu memudahkan urusan persiapan tunang dan selepas ini kahwin pula,” kongsi Elfira kepada Media Hiburan.

Sementara itu, Sufian berkata, kehadiran Elfira selama ini bagai melengkapi hidupnya.

“Syukur, majlis tunang kami sudah pun selesai dan apa yang penting, keluarga merestui apa yang kami rencanakan. Di sebalik pelbagai ujian kecil yang pernah melanda dalam hubungan kami, semuanya bagai memberi hikmah untuk terus menguatkan lagi ikatan jalinan kami.

 

“Saya bersyukur dipertemukan insan sepertinya. Dia menjadi individu yang sering mencabar saya melakukan apa yang dirasakan diri ini tidak mampu dilakukan. Pendek kata dia sering memberi sokongan dan galakan untuk saya menjadi insan yang lebih baik.

 

“Kami juga tidak melihat usia kami berkahwin muda ini sebagai satu isu besar atau hal yang ‘rare’. Ada yang menggelarkan kahwin muda ini sebagai ‘millenial couple’. Apa yang lebih penting ialah untuk kami sama-sama memikul tanggungjawab selepas berkahwin nanti,” kata Sufian.

Terdahulu, pada majlis pertunangan mereka, Elfira menyerahkan hantaran antaranya berupa tepak sirih, set haruman Dior, kek dan sepersalinan kain. Manakala Sufian pula menyerahkan cincin, sirih junjung, set haruman Dior, manisan dan sepersalinan kain.

 

[TEKS & FOTO: RAFIQ MAZLAN]
KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error:
" "