Select Page
Diana Danielle Bukan Lagi Wajah Cantik

Diana Danielle Bukan Lagi Wajah Cantik

Tidak lagi bersandarkan wajah yang jelita, namun Diana Danielle juga merupakan seorang aktres berbakat besar.

Buktinya, wanita berusia 26 tahun ini sekali lagi dinobatkan sebagai Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Filem) di Anugerah Skrin 2017 (ASK2017), baru-baru ini.

Sebelum ini, isteri kepada aktor Farid Kamil ini mengungguli kategori sama pada Festival Filem Malaysia ke-29 (FFM29), September lalu.

Kedua-dua trofi itu diterima menerusi lakonan cemerlangnya dalam filem Hanyut arahan U-wei Hj Saari.

“Alhamdulillah, Hanyut telah membuka banyak peluang pada saya.

“Bila saya berlakon dalam filem ini, barulah ada ramai yang  lihat bakat saya dan mula yakin untuk memberi naskhah yang berat.

“Hanyut juga menjadi naskhah terbaik dan saya terhutang budi dengan U-Wei,” katanya pada Media Hiburan.

Pada masa sama, ASK2017 turut menobatkan Hanyut sebagai Filem Terbaik dan Lakon Layar Terbaik manakala sutradaranya sebagai Pengarah Terbaik.

Bahkan, Khalid Salleh juga dipilih sebagai Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik (Filem).

Secara tidak langsung, katanya, kemenangan Hanyut mengubat hatinya walaupun filem berbajet besar itu gagal mendapatkan kutipan memberansangkan, sejak ditayangkan pada November lalu.

Hanyut memulakan penggambaran pada 2010 dan siap sepenuhnya dua tahun kemudian namun hanya ditayangkan pada November lalu.

Filem adaptasi daripada novel Almayer’s Folly nukilan Joseph Conrad pernah ditayangkan di pawagam Indonesia dengan judul Gunung Emas Almayer pada 2014

“Sebenarnya, kemenangan ini meninggalkan satu kenangan manis yang tak boleh dilupakan.

“Ia satu pengorbanan yang berbaloi apatah lagi dengan pelbagai cabaran dan dugaan yang harus di hadapi.

“Saya harap orang ramai dapat menonton filem ini biarpun di skrin kecil. Ia juga merupakan filem terbaik yang pernah saya lakonkan,” katanya.

Sungguhpun sudah memenangi anugerah, Diana bagaimanapun masih tetap individu yang sama.

“Kalau nak kata saya selektif, saya memang selalu macam itu sejak dulu lagi.

“Selama ini pun, saya tak adalah bolot apa saja tawaran yang datang, sebab saya faham kalau orang selalu tengok kita, dia akan bosan.

“Tiada apa yang berubah, tapi saya bersedia untuk bekerjasama dengan sesiapa saja mahupun penerbit baru,” katanya.

Bahkan, pelakon filem Kami Histeria ini mengakui hanya menerima naskhah yang betul-betul sesuai dan yang mahu dilakonkan tanpa memikirkan soal bayaran yang diterima.

“Kita tahu bayaran yang diperuntukkan stesen televisyen, jadi kita pun tidak boleh letak harga atau terlalu berkira tentang itu.

“Pada saya asalkan kita seronok dengan watak dan naskhah yang kita dapat itu sudah memadai,” katanya.

Jelasnya, seorang pelakon yang bagus mampu membawakan pelbagai apa saja watak sekali gus melakukannya dengan terbaik.

Dalam perkembangan lain, Diana sedang sibuk dalam penggambaran drama bersiri, Coffee Prince selain terbabit sebagai pengacara untuk sebuah program di TLC.

 

Siti Saleha impi tubuh yayasan

Siti Saleha impi tubuh yayasan

Pelakon popular, Siti Saleha berhasrat menubuhkan sebuah yayasan kebajikan demi membantu golongan yang memerlukan, suatu hari nanti.

Tambahan pula, katanya, penubuhan yayasan itu menjadi impian utamanya sejak aktif melakukan pelbagai kerja amal, beberapa tahun lalu.

“Sudah tentu saya mahu melakukannya. Ia adalah impian saya.

“Tapi, saya tahu ia bukan satu perkara mudah kerana memerlukan perancangan yang rapi dan khidmat ramai tenaga kerja,” katanya pada Media Hiburan.

Bahkan, selebriti berusia 27 tahun ini juga berhasrat untuk membantu semua golongan dan bukan dalam kumpulan sasaran tertentu saja.

“Kalau boleh, saya tak nak fokus pada satu-satu perkara. Saya mahu buat semua.

“Saya seronok melakukan pelbagai kerja amal sebelum ini. Ia beri saya satu kepuasan untuk membantu,” katanya.

Terbaru, bintang filem Kerat 14 ini menjalinkan kolaborasi dengan Melinda Looi menerusi kempen Poplook Gives Back with Siti Saleha bersempena dengan bulan kesedaran kanser payudara.

Katanya, kempen itu bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu penyelidikan Cancer Research Malaysia.

“Melalui kerjasama ini, Poplook melancarkan koleksi pakaian dan tudung eksklusif serta terhad.

“Saya juga terbabit sama dalam proses memberi idea dan rekaan baju dan tudung,” katanya.

Tambahnya, Poplook memilih pusat penyelidikan itu sebagai penerima sumbangan bagi menyokong usaha institut mencari penawar kanser payu dara.

“Sebanyak 30 peratus daripada hasil jualan koleksi itu akan diberi kepada institut terbabit untuk membantu membiayai penyelidikan mereka.

“Saya harap sumbangan ini akan membantu institut menemui penawar penyakit tersebut,” katanya.

Koleksi Poplook Gives Back with Siti Saleha tersedia dalam saiz XS hingga 4XL dengan harga antara RM69 dan RM119.

Ia boleh dibeli menerusi www.poplook.com serta butik Poplook di The Curve, Setia City Mall dan SOGO.

Dalam perkembangan lain, Siti Saleha sedang sibuk menjalani penggambaran drama novel adaptasi, Mandatori.

 

 

 

Mila Jirin Tak Lupa Dunia Seni

Mila Jirin Tak Lupa Dunia Seni

MESKIPUN berjaya dalam perniagaan, Mila Jirin tidak berhasrat melupakan dunia seni.

Ini kerana, bekas juara Akademi Fantasia 5 ini menyifatkan darah seni yang mengalir adalah sebahagian daripada jiwanya.

“Bidang seni bagaikan satu passion. Ia kerinduan saya dan menjadi sebagai salah satu punca mata pencarian. Alhamdulillah, mungkin hari ini, rezeki saya lebih berpihak dalam perniagaan.

“Tapi, saya tetap nak buat apa yang saya suka,” katanya kepada Media Hiburan.

Mila dan suaminya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha @ Isz Mustapha menjalankan pelbagai cabang perniagaan seperti restoran, butik dalam talian, produk kecantikan dan kesihatan serta kemudahan katering dan perkahwinan.

Pasangan sejoli ini juga sedang merancang mengembangkan perniagaan dalam bidang hartanah yang secara tidak langsung meletakkan selebriti berusia 30 tahun ini sebagai jutawan.

Bagaimanapun, Mila secara jujurnya mengakui tidak menggemari perkataan jutawan kerana bimbang ada pihak yang berniat tidak baik dan membahayakan kehidupannya serta keluarga.

“Tapi, saya cukup bersyukur dengan rezeki yang ALLAH SWT bagi,” katanya.

Pun begitu, anak jati Teluk Kumbar, Pulau Pinang ini tidak lokek berkongsi pengalaman yang hanya bermula dari ‘kosong’ malah hanya belajar daripada pengalaman kerana tidak berpelajaran tinggi.

“Sebab itu, saya mahu berkongsi pengalaman terutama dengan golongan belia melalui pelbagai program mentor-mentee yang dianjurkan,” katanya.

Tidak putus asa

Berbicara mengenai karier seninya, Mila akur dengan takdir ALLAH SWT.

Sebelum ini, bintang filem Kami Histeria ini meletakkan pertandingan realiti, AF Megastar sebagai peluang terbaik untuk kembali menggilap nama selepas dua tahun berehat.

Bagaimanapun, rezeki tidak berpihak kepadanya apabila tidak tersenarai antara 12 peserta yang layak meneruskan pertandingan tersebut.

Terus bersikap positif, pemilik nama penuh Norsyarmilla Jirin ini merancang mengeluarkan single terbaru bagi mengubati kerinduan peminatnya.

“Saya reda tapi perlu mencari ikhtiar. Mungkin saya tak boleh pergi jauh dalam bidang seni kerana masih belum dapat material yang betul-betul boleh menaikkan kembali nama saya.

“Jadi, saya tak boleh berputus asa dan teruskan mencari,” katanya.

Lantaran itu, Mila mengakui mendekati beberapa komposer demi mencari lagu yang bersesuaian dengannya.

“Saya tak kisah genre apa, tapi kalau boleh saya mahukan lagu balada. Liriknya pula biarlah lebih matang seiring dengan usia saya,” katanya.

Kali terakhir Mila menghasilkan single adalah Aku Bukan Isteri Sempurna ciptaan Eddie Hamid pada 2014.

Dalam perkembangan lain, Mila bakal terlibat dalam program Sayembara Nyanyian Patriotik Selangor 2017  di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, pada 11 November depan.

Selain Mila, antara artis yang akan membuat persembahan pada pertandingan akhir itu adalah Aina Abdul dan Dylea.

Ia dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dengan kerjasama Majlis Bandaraya Shah Alam.

‘Saya Nyanyi Ikut Naluri Hati’ – Raja Azura

‘Saya Nyanyi Ikut Naluri Hati’ – Raja Azura

Belumpun bermula, namun ramai netizen meramalkan selebriti popular tanah air, Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin sebagai peserta terawal yang bakal tersingkir dalam program realiti, Gegar Vaganza 4 (GV4).

Pun begitu, Raja Azura atau lebih mesra disapa sebagai Kak Engku ini enggan mengambil peduli selain terus berpegang teguh dengan prinsipnya iaitu kekal menjadi diri sendiri.

“Saya tak peduli dengan apa orang kata. Saya sangat positif. Bagi saya, setiap rezeki, ALLAH SWT yang tentukan.

“Mereka (netizen) ada hak untuk bercakap sebab hari ini kita hidup dengan media sosial. Jadi, kena terima dengan hati yang terbuka,” katanya pada Media Hiburan.

Pada masa sama, selebriti berusia 45 tahun ini juga bersedia untuk menerima sebarang kritikan yang dilemparkan.

“Saya tak anggap ia (kritikan) sebagai satu perkara yang boleh menjatuhkan saya.

“Lagipun, saya dah lama dalam industri seni. Saya dah lalui bermacam-macam cabaran dan dugaan sejak berusia 13 tahun lagi.

“Semua ini adalah asam garam dalam industri seni sekali gus membantu kita untuk matang,” katanya.

Sebagai persediaan, Kak Engku mengakui sudah pun memulakan latihan dengan guru vokal, Shafi Shariff.

“Saya pasti ramai yang nak tengok saya perform, termasuk mereka yang mengecam saya. Mereka pasti nak cari salah saya, tetapi perkara itulah yang menaikkan semangat saya.

“Saya bukan penyanyi profesional, saya menyanyi ikut naluri hati. Sebab itu kena buat persediaan dan saya dah pun mulakan latihan vokal dengan Cikgu Shafi. Kita nak pergi ‘berperang’, sudahlah ‘senjata’ saya dah berkarat, mereka semua dah guna M-16,” katanya sambil tertawa.

Rezeki anak-anak

Dalam pada itu, Kak Engku menyifatkan penyertaannya dalam GV4 hanya untuk memeriahkan kembali industri seni.

Tambahan pula, pelakon filem Magika ini pernah menghasilkan dua album iaitu Dan Bunga Berguguran (1998) dan Raja Azura (2008).

“Mungkin ini kelainan yang mahu dibawa dalam GV. Tapi, mungkin juga diberi peluang ini kerana saya mempunyai album, sebelum ini.

“Lagipun, saya nak tambah satu lagi pengacara, pelakon, penyanyi, penyampai radio semua dah. Peserta saja yang belum. Terima kasih kepada semua yang menyokong saya, yang tak sokong pun terima kasih.

“Bagi netizen yang bertanya Kak Engku boleh nyanyi ke tak, jawab saya bolehlah menyanyi untuk memeriahkan dan menghiburkan industri seni,” katanya sambil tertawa.

Walaupun lebih dikenali dalam bidang lain, Kak Engku bagaimanapun melihat ia sebagai satu kelebihan tersendiri.

“Sedang elok album kedua saya disiapkan, saya mendapat tawaran untuk menjadi penyampai radio.

“Sudah tertulis, rezeki saya lebih kepada penyampai radio, jadi saya terpaksa tangguh seketika untuk bergelar penyanyi.

“Jadi, saya melihat pembabitan saya dalam program realiti ini sebagai satu sumber rezeki untuk anak-anak,” katanya.

Selain Kak Engku, GV4 turut membariskan 11 peserta lain iaitu Aishah, Elyana, Syura, Haida Hafiz, Liza Hanim, Aqasha, Lan Kristal, Hazami, Tia Jimbara dan dua peserta nusantara, Firman mewakili Indonesia dan Ferhad dari Singapura.

Konsert GV4 bakal bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan  akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123), jam 9 malam bermula 29 Oktober ini.

Hazami Sertai GV4 Kerana Peminat

Hazami Sertai GV4 Kerana Peminat

HASIL pujukan peminat, Hazami bersedia bersaing dalam program realiti, Gegar Vaganza musim keempat (GV4).

Pada masa sama, penyanyi berusia 42 tahun ini berusaha memenuhi permintaan ahli keluarga terutama ibu tersayang, Noor Afza Md Salleh.

“Sebenarnya, setiap musim saya ditawarkan menyertai program realiti ini. Kali ini, baru saya terima selepas sebak membaca e-mel dan mesej daripada peminat yang mahu saya melakukannya. Ibu saya pun excited bila saya menyertainya,” katanya kepada Media Hiburan.

Mengakui berada dalam zon selesa, penyanyi yang popular menerusi lagu Sonata Musim Salju ini bagaimanapun meletakkan nilai keikhlasan dalam menghiburkan peminat setianya.

Hazami yang merendah diri berkata, dia bukan lagi guru vokal atau komposer apabila berada di pentas sebaliknya cuma seorang penghibur.

“Peminatlah yang meletakkan saya di situ. Itu bermakna saya buat untuk mereka (peminat) dan saya tak boleh naik atas pentas lalu bersikap besar kepala,” katanya.

Bukan itu saja, pemilik nama sebenar Norkamal Hazami Ahmad Abdul Rahman ini juga sangat berbesar hati menerima sebarang kritikan daripada juri profesional kerana menganggapnya bertujuan membentuk kredibiliti seorang penyanyi dan pemuzik yang bagus.

“Jadi, saya terimanya sebagai satu cara pendidikan kerana proses pembelajaran berlangsung sepanjang hayat.

“Saya juga tak seharusnya takut dengan bayang-bayang sendiri sebaliknya perlu terus berjuang untuk membuat yang terbaik,” katanya.

Selain Hazami, GV4 turut disertai Aishah, Elyana, Liza Hanim, Syura, Haida, Raja Azura, Aqasha, Tia Jimbara, Lan Kristal dan dua penyanyi luar iaitu dari Indonesia, Firman dan Ferhad (Singapura).

Konsert GV4 bakal bersiaran langsung dari Dewan Sri Putra, Bukit Jalil dan  akan disiarkan menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123). jam 9 malam bermula 29 Oktober ini.

Dalam perkembangan lain, Hazami sedang merangka untuk mengadakan konsert sempena 15 tahun pembabitannya dalam industri muzik akhir tahun ini.

KORPORAT     POLISI DATA PERIBADI    PENAFIAN   •   LANGGANAN      PENGIKLANAN      KERJAYA       HUBUNGI KAMI

© Hakcipta Terpelihara • Kumpulan Karangkraf

error:
" "