DRAMA Abang Bomba I Love You telah meletakkan nama Amira Othman antara pendatang baharu dalam bidang lakonan.

Memegang watak Lily, seorang doktor serta adik yang penyayang memberi ternyata memberi kesan kepada peminat sehingga ada yang memanggilnya Dr Lily.

Meskipun dipanggil Dr Lily, Amira menerimanya dengan positif dan menganggap itu penghargaan peminat untuknya.

“Sebelum ini, orang tak berapa kenal tetapi mereka tahu lagu saya Hati-Hati. Tapi, bila saya berlakon drama tersebut, peminat mula mengenali saya," katanya dalam satu temubual, baru-baru ini.

Amira mengakui gembira dengan perkembangan itu dan berharap akan terus dikenali.

Tidak pernah menyangka akan menerima watak utama, lebih-lebih lagi itu itulah kali pertama berlakon, namun itulah pembuka rezeki buatnya dalam bidang ini.

“Berlakon di samping Hisyam Hamid merupakan pengalaman manis. Saya selalu minta dia tegur sekiranya ada kesilapan.

“Alhamdulillah, Hisyam banyak beri tunjuk ajar semasa sesi penggambaran dan saya sangat hargai segala tunjuk ajarnya,” kata pemenang tempat ketiga Akademi Fantasia 2013 itu.

Dahulukan nyanyian

Walaupun sudah bergelar pelakon, Amira tetap mendahulukan karier nyanyiannya berbanding lakonan serta pengacaraan. Ia telah menjadi sasaran utamanya sejak menjejakkan langkah ke dalam industri hiburan.

“Fokus utama saya tetap dalam nyanyian dan akan mendahului bidang ini. Kalau jadual tidak terlalu padat, barulah saya akan menerima tawaran berlakon,” kata pelantun Jaga-Jaga tersebut.

Dalam perkembangan lain, Amira sedang sibuk mencari material bagi menghasilkan lagu ketiganya dan berharap dapat merakamkannya pada bulan hadapan.

Menurutnya, dia mengambil masa yang lama untuk membuat lagu baru kerana mahu memastikan semua material untuk lagu terbarunya adalah yang terbaik.

“Saya perlu mengekalkan standard yang telah ditetapkan walaupun selepas lagu Hati-Hati, saya ambil masa yang lama untuk keluarkan Jaga-Jaga.

“Saya sedang mencari melodi sesuai untuk lagu terbaru. Saya akui, saya agak selektif,” bicara pengacara Nasi Lemak Kopi O tersebut.